suria

Masalah isteri mengidam selesai! "Dua bungkus dia makan, rakyat Malaysia memang terbaik"

Farizah berpuas hati dapat menikmati nasi lemak yang diidamkan. foto ihsan Mohamad Azham.

PETALING JAYA: Mengidam semasa mengandung adalah normal dan biasanya dialami mengikut tempoh kehamilan berbeza antara seseorang wanita.

Ada yang ingin makan makanan yang sukar dicari, tidak kurang juga ada yang membuat permintaan pelik.

Jadi si suami akan cuba sedaya memenuhi permintaan tersebut kerana bimbang jika isteri tidak dapat makan apa yang diidamkan, bak kata orang tua-tua 'anak yang lahir nanti akan meleleh air liur'.

Bagi Farizah Mohd Mostar yang hamil anak ketiga, dia mengidam mahu menikmati Nasi Lemak Pak Nasser, menu hidangan di atas pesawat AirAsia.

Permintaan wanita berusia 30 tahun itu membuatkan suaminya, Mohamad Azham Shah Johari tidak senang duduk memandangkan makanan tersebut hanya boleh dibeli di awan biru.

Justeru bapa kepada dua orang anak itu mencuba nasib dengan bertanya kepada syarikat penerbangan AirAsia sama ada makanan tersebut boleh didapati di tempat lain menerusi satu posting di Twitternya.

Tanpa diduga posting Mohamad Azham mendapat respons pengendali akaun Twitter rasmi AirAsia dengan jawapan balas yang kelakar sehingga menerima lebih 2,000 ulang kicau.

Posting Mohamad Azham turut mendapat perhatian AirAsia.

Malah postingnya turut tular dengan ramai yang meluahkan hasrat untuk membantunya mendapatkan makanan tersebut.

Kira-kira pukul 6 petang Rabu, Farizah akhirnya dapat menikmati nasi lemak itu hasil pemberian seorang wanita yang kebetulan menaiki penerbangan dari Kota Kinabalu menuju ke Kuala Lumpur.

"Alhamdulillah lega rasanya apabila isteri saya dapat juga makan nasi lemak yang diidamkan. Terima kasih kepada seorang wanita yang baik hati sudi menghadiahkan makanan itu kepada isteri saya.

"Bukan sebungkus tapi dua bungkus yang diberikan secara percuma. Saya anggap ini rezeki anak ketiga saya yang bakal lahir awal tahun depan," katanya kepada mStar Online.

Pada masa sama, Mohamad Azham juga terharu dengan sikap baik hati orang ramai yang turut meluahkan hasrat ingin membantunya sehingga ada yang sanggup mencari maklumat mengenai pengedar nasi lemak tersebut.

"Saya tak sangka ramai sangat yang nak membantu. Saya dan isteri amat terharu. Pendek kata rakyat Malaysia memang baik hati.

"Kerana nasi lemak akhirnya rakyat Malaysia bersatu. Terima kasih sekali lagi anda semua memang terbaik," katanya.

Farizah akhirnya dapat menikmati nasi lemak yang diidam-idamkannya.

Menurut Mohamad Azham, isterinya teringin makan nasi lemak itu selepas terdengar perbualan rakan-rakan sepejabatnya mengenai keenakan hidangan tersebut
selepas balik bercuti .

"Jadi semasa nak pergi sarapan pagi isteri teringatlah dekat nasi lemak Pak Nasser. Kawan-kawan pula siap tunjuk gambar nasi lemak tu. Tiba-tiba dia mesej saya beritahu nak nasi lemak tersebut.

"Isteri tak adalah beriya sangat tapi saya sendiri tak senang duduk. Saya pun dah tak tahu nak cari kat mana. Saya ingat ada jual dekat kafe AirAsia. Jadi saya tanya mereka kat Twitter.

"Dan tak sangka AirAsia reply posting saya. Isteri saya memang tak ada benda tersirat. Setahu saya kalau dia nak nasi lemak memang dia nak nasi lemak. Dia tak ada pula cakap nak terbang ke mana," katanya dalam nada berseloroh.

Ditanya sama ada isterinya baru pertama kali makan nasi lemak itu, Mohamad Azham berkata ia adalah kali kedua selepas enam tahun lalu menikmatinya.

"Kali pertama sekitar hujung tahun 2012 semasa kami berdua pergi bertemu kawan-kawan di Kuching, Sarawak. Lepas kami ada anak, kami tak terbang ke mana-mana dah.

"Kali kedua makan nasi lemak tu petang semalam selepas dapat daripada seorang wanita yang baik hati membelikannya untuk isteri," katanya.

Mohamad Azham bersama isteri dan dua anaknya. - foto ihsan Mohamad Azham

Mohamad Azham turut menyifatkan permintaan isterinya semasa hamil anak ketiga mereka ini paling mencabar berbanding dua kehamilannya sebelum ini.

"Masa mengandung anak pertama dulu dia nak A&W float. Anak kedua pula dia mengidam nak makan nasi lemak Malis Corner dekat Danau Kota. Gigih kami datang malam-malam dari Putrajaya.

"Bagi saya ini yang paling mencabar. Lagipun ini anak 'last' kerana isteri saya bersalin secara pembedahan, jadi saya kena usahakan cari sampai dapat.

"Alhamdulillah melalui kuasa viral, ramai rakyat Malaysia yang baik hati ingin membantu menunaikan hasrat isteri saya," katanya.

nasi lemak, AirAsia

Artikel Lain