suria

Belanjawan 2019: Jeritan 'banglo' gamatkan dewan, Guan Eng tenang saja

PETALING JAYA: Dewan Rakyat gamat apabila Belanjawan 2019 mengumumkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan meneliti dan menyiasat sebarang harta kekayaan luar biasa yang ditunjukkan melalui pemilikan barang-barang mewah.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mengumumkan perkara itu memberitahu barang mewah tersebut adalah seperti barangan kemas, jam tangan, beg tangan, kereta mewah atau hartanah.

Namun kecoh apabila wakil rakyat di dalam dewan dipercayai dalam kalangan pembangkang membalas secara spontan mengenai barangan mewah yang diumumkan Guan Eng.

"Banglo, banglo, banglo!," jeritan wakil rakyat sekali gus mencetuskan suasana riuh seketika dalam Dewan Rakyat di Parlimen, petang Jumaat.

Bagaimanapun suasana dalam dewan masih terkawal dan Guan Eng tetap tenang serta meneruskan pembentangannya.

Ungkapan banglo tersebut dipercayai merujuk kepada kes rasuah sebelum ini membabitkan Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon, berhubung pembelian sebuah banglo yang didakwa di bawah nilai pasaran.

Bagaimanapun, pada 3 September lalu, Guan Eng, yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, dan Li Koon dibebaskan di atas pertuduhan rasuah itu oleh Mahkamah Tinggi di George Town.


Lim Guan Eng, LHDN

Artikel Lain