PETALING JAYA: Berita baik buat rakyat Malaysia apabila kerajaan akan meneruskan dan menambahbaik Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada golongan B40 dengan memberikan bantuan secara lebih bersasar. Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang membentangkan Belanjawan 2019 pada petang Jumaat berkata, dianggarkan sebanyak 4.1 juta isi rumah akan terus menerima bantuan kewangan daripada kerajaan dengan peruntukan RM5 bilion. Beliau berkata, isi rumah berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah akan menerima bantuan berjumlah RM1,000. "Isi rumah berpendapatan bulanan dari RM2,001 hingga RM3,000 ke bawah akan menerima bantuan berjumlah RM750. "Isi rumah berpendapatan bulanan dari RM3,001 hingga RM4,000 akan menerima bantuan berjumlah RM500," katanya di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur. ARTIKEL BERKAITAN: Penjawat awam dapat RM500, pesara kerajaan tak dilupakan! Guan Eng berkata, kerajaan juga akan memperkenalkan kadar tambahan BSH sebanyak RM120 untuk setiap anak berumur 18 tahun ke bawah terhad kepada empat orang, kecuali anak orang kurang upaya (OKU) yang tidak dihadkan umur mereka. ARTIKEL BERKAITAN: Intipati Bajet 2019 BSH bagi menggantikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diperkenalkan oleh kerajaan terdahulu di bawah Barisan Nasional (BN) sejak 2012. BR1M yang terakhir pada tahun ini membabitkan kira-kira tujuh juta penerima menikmati pemberian kerajaan dengan kadar maksimum sehingga RM1,200. Belanjawan 2019 bertemakan 'Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera' merupakan yang pertama dibentangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan.