PETALING JAYA: Malaysia bakal memansuhkan hukuman mati bagi semua jenayah, menyertai 106 negara lain yang sudah pun melaksanakannya. Ini merupakan satu langkah positif ke arah hak asasi manusia, apatah lagi hukuman mati telah lama dikritik oleh aktivis dan kumpulan hak asasi manusia kerana dilihat sebagai kejam dan tidak berperlembagaan. Perkara 5 (1) dalam Perlembagaan Persekutuan menjamin hak nyawa dan kebebasan kepada semua individu. Namun begitu pada tahun 2013, kajian oleh bahagian kriminologi Universiti Oxford, menunjukkan bahawa 91 peratus warga Malaysia menyokong hukuman mati mandatori atau budi bicara bagi kes pembunuhan, dengan menyatakan 'pembalasan setimpal' sebagai alasan utama. Baru-baru ini, kajian oleh The Star Online yang dibalas oleh lebih dari 3,600 responden, mendapati bahawa hampir separuh membantah pemansuhan ini. Komen-komen di laman media sosial turut memberi persepsi yang sama, tetapi pakar-pakar berhujah bahawa ia sebenarnya mewujudkan lebih banyak masalah daripada penyelesaian. "Banyak kajian di seluruh dunia menunjukkan bahawa mereka yang dikenakan hukuman mati bukanlah penjenayah yang paling teruk," kata Pengarah dari World Coalition Against the Death Penalty (Gabungan Menentang Hukuman Mati Sedunia), Aurélie Palaçais. "Ramai daripada mereka kekurangan akses kepada sistem keadilan," katanya. Tonton episod penuh NewsFlash ini untuk lebih memahami isu hukuman mati di Malaysia dengan lebih mendalam. NewsFlash adalah siri mingguan R.AGE yang menganalisis dan membincangkan isu-isu semasa. Tonton siri-siri tersebut di SINI, atau ikuti kami di Facebook.