suria

Tujuh rakyat Filipina, seorang warga tempatan disyaki pengganas ditahan

Salah seorang suspek pengganas yang ditahan dalam operasi khas baru-baru ini. -fotoTHESTAR

KUALA LUMPUR: Polis berjaya menahan lapan suspek disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas dalam satu operasi khas yang dilakukan di Putrajaya dan Sabah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kesemua suspek yang terdiri daripada tujuh warga Filipina dan seorang warga tempatan ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman antara 30 Oktober hingga 12 November lalu.

"Tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 38 tahun di Putrajaya yang bekerja sebagai ejen menjual jongkong emas.

"Suspek terlibat dalam menyalurkan dana kepada Akel Zainal, rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan militan Daesh di Syria pada 2017," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohamad Fuzi berkata tangkapan kedua melibatkan tiga suspek warga Filipina berusia antara 27 hingga 51 tahun pada 1 November lalu yang bekerja sebagai buruh.

"Kesemua suspek merupakan anggota kumpulan Abu Sayyaf yang terlibat dalam kegiatan penculikan untuk mendapatkan wang tebusan di Selatan Filipina dan Sabah.

"Salah seorang suspek mempunyai kemahiran dalam menghasilkan senjata api bagi kegunaan kumpulan militan itu," katanya.

Jelas Mohamad Fuzi lagi, seorang anggota militan Abu Sayyaf yang bertindak merekrut kanak-kanak untuk menyertai kumpulan militan itu turut ditahan pada 8 November lalu bersama dengan seorang lagi rakannya berusia 46 tahun di Ranau, Sabah.

"Suspek berusia 36 tahun bertindak merekrut kanak-kanak untuk menyertai kumpulan militan tersebut dan dijadikan perisai manusia semasa bertempur dengan tentera Filipina di Basilan, Selatan Filipina.

"Semasa ditangkap, kedua-dua suspek sedang merancang untuk melarikan diri ke Selatan Filipina bagi mengelak ditahan pihak berkuasa Malaysia," katanya.

Tambah beliau lagi, tangkapan keempat pula melibatkan seorang warganegara Filipina yang bekerja sebagai tukang besi di Kinarut, Sabah pada 10 November lalu.

"Suspek yang berusia 30 tahun merupakan salah seorang komander kumpulan Abu Sayyaf yang juga orang kanan kepada Furuji Indama (Pemimpin Kanan Abu Sayyaf)," katanya.

Mengenai tangkapan kelima, Mohamad Fuji memberitahu ia melibatkan seorang lagi suspek warganegara Filipina berusia 60 tahun yang juga peniaga pasar malam di Tenom Sabah.

"Suspek ditahan pada 12 November lalu. Dia dipercayai terlibat dalam melindungi salah seorang suspek yang ditangkap pada 8 November lalu semasa cuba melarikan diri daripada buruan polis," katanya.

Menurut beliau, kesemua suspek ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

militan, PDRM

Artikel Lain