PETALING JAYA: Sebuah rakaman video dan gambar menunjukkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan beberapa pemimpin Umno di ruang menunggu Parlimen telah mencetuskan spekulasi tentang situasi politik negara. Namun, ramai yang berpandangan situasi itu adalah satu kebiasaan untuk ahli Parlimen meletakkan ke tepi perbezaan politik dan beramah mesra. Sudah menjadi kebiasaan untuk ahli Parlimen berselisih pendapat di Dewan Rakyat, namun mereka boleh berbual mesra di ruang menunggu tersebut. Kadangkala, ketika sesi membalas pendapat yang pedas, ahli Parlimen selalu bergurau bahawa mereka boleh berbual tentang pelbagai perkara ketika menikmati teh di ruang istirahat Parlimen. Oleh itu, ia bukanlah satu pemandangan luar biasa untuk melihat para menteri dan pembangkang duduk bersama sambil berbincang tentang pelbagai isu. Gambar menunjukkan Anwar berbual dengan bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz, bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, Ahli Parlimen Parit Sulong dan Ketua Wanita Umno Datuk Dr Noraini Ahmad, dan Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menjadi tular di media sosial. Sebuah klip berdurasi 49 saat menunjukkan Hishammuddin, Anwar dan Nazri bergelak ketawa dan bersenda gurau antara mereka turut menjadi perhatian. Beberapa orang cuba menggambarkan video itu secara negatif dengan mendakwa ahli Parlimen terbabit ingin melompat parti, namun Nazri menafikannya dan berkata, tiada apa-apa yang perlu 'dibaca' daripada gambar dan vide tersebut. - The Star