SHAH ALAM: Berada sepentas dengan bapanya di Kongres Nasional PKR ke-13 memberi satu kenangan indah buat Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar. Menurut Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, beliau sudah lama menanti kemunculan semula bapanya yang juga Presiden PKR baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim. "Kita bakal terima presiden baru yang saya kasihi dan begitu lama saya nantikan. Ibarat sirih pulang ke gagang... lama benar kehadiranmu dinantikan. "Setiap kali kita adakan kongres, beliau masih di balik tembok penjara. Kita dambakan pengharapan untuk beliau bebas dan kita menang di peringkat Persekutuan. "Sekarang kita sudah menang," katanya dalam ucapan penggulungan, di sini, Ahad. Nurul Izzah turut membuat rayuan secara langsung kepada Anwar agar membela nasib ahli PKR yang banyak berkorban. "Kita belajar perjuangan ini memerlukan pengorbanan. "Wahai presiden baru, ahli parti memerlukan pembelaan. Maka banyak yang diharapkan dan didambakan. "Insya-ALLAH kita sama-sama lakukan tugasan kerana tak mungkin presiden baru mampu melakukannya seorang diri. Kitalah yang akan jadi penjaga garis batas perjuangan, tak mampu presiden seorang diri buat," katanya. Dalam ucapan sama, Nurul Izzah turut melahirkan penghargaan kepada Presiden PKR terdahulu yang juga ibunya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. "Untuk Presiden asal (selama) 20 tahun, terima kasih kerana bersabar. Kalau ada lebih ramai yang mampu bersabar seperti Yang Berhormat, mungkin kurang sikit pertelingkahan kita," katanya. - Sinar Harian