KUALA LUMPUR: Polis menembak mati lima lelaki yang menyamun kedai emas di sebuah pasar raya di Kuchai Lama pada Selasa. Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, enam lelaki tempatan bersenjatakan pistol serta parang meluru masuk ke pasar raya itu dan menyamun sebuah kedai emas. Tanpa memberikan butiran, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata empat lelaki ditembak di lokasi kejadian manakala seorang lagi suspek yang cuba melarikan diri dengan sebuah kereta ditembak kira-kira satu kilometer dari lokasi itu. Katanya polis dapat menahan seorang suspek kejadian itu. Bagaimanapun, dalam kejadian itu, eorang anggota polis cedera terkena tembakan, katanya ketika dihubungi di sini hari ini. “Dua pucuk pistol dan beberapa bilah parang dirampas serta sejumlah besar barang kemas juga berjaya dirampas,” kata Fadzil. Beliau berkata pihaknya kini menjalankan siasatan di lokasi kejadian. Sementara itu, saksi yang ingin dikenali sebagai Diah, 26, berkata beliau melihat beberapa lelaki memakai topi keledar menuju ke kedai emas itu. “Kemudian saya dengar bunyi tembakan dan terus melarikan diri kerana bimbangkan keselamatan diri,” katanya. - Bernama