suria

Jangan buli anak lelaki yang maki promoter bir!

Lelaki yang didakwa memaki seorang promoter bir di sebuah pasar raya.

PETALING JAYA: Orang ramai digesa untuk tidak membuli anak kepada seorang pelanggan pasar raya yang memaki seorang promoter minuman keras, susulan identiti lelaki terbabit didedahkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki maki promoter bir mohon maaf, “Amat menyesal tindakan saya”

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, orang ramai juga tidak boleh berkongsi gambar atau butiran kanak-kanak itu, seperti sekolahnya.

"Sekolah adalah untuk semua kanak-kanak. Kita tidak sepatutnya membenarkan mana-mana pelajar didiskriminasi atau dibuli," katanya.

"Mari kita hapus kebencian dan jangan serapkannya ke sekolah."

Nie Ching berkata, apa yang dilakukan oleh pelanggan tersebut sememangnya tidak wajar, dan promoter berkenaan tidak seharusnya dilayan sedemikian.

"Jadi, mari kita ambil penganjaran daripada (promoter minuman keras) dan tidak mengulangi kesilapan (pelanggan berkenaan)," katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita MCA membuat laporan polis berhubung tindakan lelaki tersebut pada Selasa.

Ketuanya, Datuk Heng Seai Kie berkata, Wanita MCA kecewa isu-isu perkauman dan keganasan terhadap wanita masih berlaku di era Malaysia Baharu.

"Wanita MCA mahu menekankan bahawa kita tidak akan bertolak ansur dengan sebarang perbuatan membuli terhadap wanita.

"Kita menggesa pihak berkuasa untuk bertindak terhadap lelaki itu dan menjalankan siasatan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Subseksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948," kata Heng dalam satu kenyataan, Selasa.

Seai Kie memuji promoter terbabit yang kelihatan tenang berdepan dengan kritikan, dan turut menasihatkan rakyat Malaysia mengamalkan kesederhanaan untuk memelihara keharmonian, keamanan dan perpaduan negara.

Menerusi klip video yang tular, seorang pelanggan pasar raya dilihat memaki seorang promoter minuman keras kerana memberikan sampel bir di bahagian bukan halal (non halal) di sebuah pasar raya besar di Ampang.

Walaupun lelaki berkenaan memarahinya dan mendesak mahu mengetahui sama ada dia mempromosikan bir itu kepada semua orang termasuk orang Islam, promoter itu tetap kelihatan tenang.

Lelaki terbabit turut mengkritik wanita itu dan mendesaknya untuk bercakap dalam Bahasa Melayu kerana katanya ini adalah "Bumi Melayu".

Pelanggan pasar raya itu kemudian menunjukkan isyarat lucah dan melayan promoter itu secara kasar sebelum beredar.

Susulan insiden tersebut, lelaki tersebut dikecam di atas tindakannya, dan memuji gadis berkenaan kerana pendiriannya.

Artikel Berikut

Artikel Lain