suria

Awas! OCPD, MDD buat pemuda ini beberapa kali nak bunuh diri kerana ‘penjara’ ciptaan sendiri

Safwan kini semakin pulih bersama ibunya pada majlis graduasi baru-baru ini. Foto kredit: Safwan

PETALING JAYA: Sekian lama bergelut dengan masalah murung dan tekanan hidup, akhirnya Mohd Safwan Zulqarnain Jebat berjaya keluar dari 'penjara' ciptaannya sendiri.

Jelas Safwan,26, kehidupannya kini lebih positif berbanding beberapa tahun sebelum ini kerana mengalami gangguan keperibadian OCPD (Obsessive Compulsive Personality Disorder) serta MDD (Major Depressive Disorder) yang agak serius.

Secara ringkasnya OCPD dan MDD adalah satu gangguan yang akan membuatkan seseorang itu mahu mengendalikan segala-galanya dalam kehidupannya kerana terlalu mementingkan kesempurnaan, sebagai contoh sangat komited dengan kerja atau rutin harian.

Safwan memberitahu, punca gangguan kedua-dua masalah itu adalah dari dirinya sendiri yang enggan mendapat rawatan awal kerana terlalu memegang kepada stigma negatif jika menjalani rawatan psikiatri.

Safwan memeluk salah seorang pelajarnya pada hari terakhir sebagai guru sementara di sebuah sekolah.

"Ia bermula ketika saya menyambung pengajian Diploma in TESL. Saya tak pernah ingin menjadi seorang guru sebab saya tidak sukakan sekolah.

"Hampir sahaja saya berhenti belajar kerana tak dapat nak uruskan pelajaran yang memerlukan saya untuk membuat tugasan dan bercakap dalam Bahasa Inggeris.

"Saya bertambah pening apabila diberitahu bahawa semester terakhir program diploma ini merupakan satu tempoh untuk saya menjadi guru dan mengaplikasikan apa yang dipelajari.

"Tetapi saya jatuh cinta apabila mereka memperkenalkan  'Teaching Grammar' sewaktu berada di semester tiga, tugasan akhir untuk subjek ini yang memerlukan  saya mengajar di depan kelas.

"Ketika itu semuanya berjalan lancar," ujarnya kepada mStar online memulakan ceritanya.

Menurut Safwan, segalanya berubah apabila bapanya meninggal dunia selepas lebih sembilan tahun berperang dengan kanser.

Safwan sentiasa berkongsi pengalaman dan perasaannya di laman sosial.

"Ketika itu tahun 2013 dan tempoh sebulan lagi saya akan menamatkan latihan industri. Kondisi mental semakin merundum. Jika sebelum ini masalah kemurungan hanya berlaku sekali sekala.

"Hampir sahaja saya berhenti  pengajian kerana sewaktu abah meninggal, keadaan kewangan keluarga kami juga tidak begitu stabil.

"Ibu (Suriyatina Che Mat) menyuruh saya meneruskan pengajian kerana latihan praktikal hampir tamat. Setiap hari saya menangis ketika mandi dan sebelum tidur.

"Tetapi saya gagahkan diri untuk menunaikan impan abah yang ingin melihat anaknya berjaya.

"Saya akui masalah utama dalam diri ini adalah ingin kesempurnaan. Jika apa sahaja yang tidak berjaya dicapai, saya akan sedih, marah diri sendiri dan murung.

"Masalah itulah yang mengganggu saya selama ini kerana menganggap  diri saya seperti tidak berguna selepas gagal menunaikan impian abah untuk melihat saya menyambung pelajaran ke luar negara.

"Keadaan semakin serius ketika menyambung pelajaran di peringkat ijazah. Beberapa kali cuba membunuh diri kerana tekanan yang saya sendiri cipta. Saya tidak boleh keseorangan.

"Selepas itu saya disahkan mengalami  OCPD dan MDD dengan psikosis.

"Setelah tamat dan lulus ijazah saya pulang ke kampung tempat saya membesar di Johor Bahru dan berhenti berjumpa pakar psikatri serta mengambil ubat kerana  menyangka apabila berada dekat bersama keluarga semuanya menjadi lebih baik.

"Namun hakikatnya saya masih lagi berasa sunyi, sedih dan tertekan," jelasnya yang merupakan anak sulung daripada dua orang adik beradik.

Tambah Safwan, akibat gagal mengawal perasaannya, pada Mac lalu dia sekali lagi cuba membunuh diri.

"Saya dibawa ke wad kecemasan dan mendapat semula bantuan psikatri. Sejak itu saya hanya berehat sehinggalah majlis graduasi Ogos lalu. Walaupun pencapaian yang baik, namun saya tetap rasa kosong.

"Tetapi semuanya berubah apabila September lalu saya menerima panggilan untuk mengajar di sebuah sekolah sebagai guru sementara.

"Dengan suasana baharu dan rawatan yang berterusan saya kini berasa baik dan positif. Hubungan baik dengan pelajar membuatkan saya kembali mengenal erti hidup.

"Mereka membuatkan saya lebih matang dan sentiasa memberikan sokongan dalam apa jua keadaan saya.

"Walaupun sedih tempoh mengajar sudah tamat, tetapi hari ini saya merasakan diri seperti orang baharu yang penuh bersemangat.

"Dan kini masih ada lagi 'gangguan' itu, tetapi saya sudah boleh mengatasinya.

"Bagi saya paling penting adalah jangan malu untuk menerima rawatan psikiatri. Ia banyak membantu. Sebenarnya rawatan ini bukan hanya bergantung kepada ubat-ubatan, tetapi sesi terapi lebih berkesan kepada saya. Sekarang pun saya sudah minimakan pengambilan ubat," jelasnya.

Safwan yakin 'penyakit' yang dialaminya ini berpunca daripada dirinya sendiri.

"Hanya saya sahaja yang boleh membantu diri sendiri selain daripada sokongan keluarga dan rawatan.

"Saya akan memulakan kelas tutor saya sendiri dan akan menerbitkan buku mengenai diri saya untuk berkongsi dengan orang lain berkaitan pengalaman saya ini," jelasnya.

OCPD, MDD

Artikel Lain