suria

Jangan pilih pengasuh secara dalam talian

Dr Wan Azizah (kanan) menunjukkan Senarai Semak/Panduan Pemilihan Pengasuh DiRumah selepas melancarkan panduan itu di Kementerian Pembangunan Wanita, Kaluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada Jumaat. -fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada Jumaat menggesa ibu bapa agar mendapatkan pengasuh bertauliah yang disyorkan rakan-rakan atau melalui Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia, Pendidikan dan Jagaan Awal Kanak-kanak (ECCE) dan taska berdaftar.

Timbalan Menteri berkenaan Hannah Yeoh berkata keutamaan kerajaan ialah untuk kanak-kanak berada dalam keadaan selamat ketika ibu bapa bekerja.

“Kita minta tolong jangan cari pengasuh dalam talian. Jangan pilih orang yang kita tidak kenali di Facebook. Pilih mereka yang disyorkan oleh kawan-kawan anda,” katanya pada sidang media bersempena pelancaran senarai semak kualiti pengasuh di rumah berbentuk infografik di sini.

Senarai semak infografik yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu adalah inisiatif fasa pertama untuk dijadikan panduan oleh ibu bapa sebelum dan selepas menghantar anak mereka kepada pengasuh, katanya.

"Infografik ini adalah mekanisme yang berbentuk sementara sebelum sistem semakan yang sedang dibangunkan siap sepenuhnya tahun depan,”katanya.

Yeoh berkata apabila sistem senarai semak siap sepenuhnya, orang ramai boleh memeriksa latar belakang pengasuh tersebut.

Senarai semak atau panduan sebelum menghantar anak menggariskan lima aspek iaitu persekitaran, peribadi pengasuh, pengalaman dan kelayakan pengasuh, keluarga/ahli isi rumah tinggal bersama dan perkhidmatan pengasuh sedia ada.

Semakan yang perlu selepas menghantar anak untuk tanda penderaan emosi, fizikal atau seksual pula ialah respons anak, respons pengasuh dan tanda penderaan. - BERNAMA

pengasuh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain