suria

Wifi percuma di semua kawasan rehat dan rawat Plus menjelang 2022

Kawasan rehat dan rawat di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan bakal dilengkapi kemudahan wifi secara percuma menjelang 2022. - Gambar laman web Plus

SEPANG: Kesemua kawasan rehat dan rawat di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan bakal dilengkapi kemudahan wifi secara percuma menjelang 2022, kata Pengarah Urusan Plus Malaysia Bhd (Plus) Datuk Azman Ismail.

Beliau berkata kawasan rehat dan rawat pertama yang dijangka dilengkapi wifi percuma  ialah Seremban arah selatan pada awal 2020.  

"Pada masa ini proses tendering sedang dilakukan dan kemudahan wifi percuma adalah selaras dengan proses naik taraf kawasan rehat dan rawat Plus," katanya kepada pemberita selepas perasmian persimpangan bertingkat Bandar Serenia di sini oleh Menteri Kerja Raya, Baru Bian pada Isnin.  

Menurut Azman, pada masa ini terdapat 24 kawasan rehat dan rawat di sepanjang lebuh raya Plus di kedua-dua arah.  

Sementara itu, Baru dalam ucapannya menegur syarikat konsesi lebuh raya supaya mengambil tindakan serius dalam aspek penyelenggaraan.

"Matlamat menjadikan lebuh raya Malaysia bertaraf dunia hendaklah merangkumi semua elemen pengurusan dan kejuruteraan termasuklah penyelenggaraan,”katanya.  

Baru berkata kerja-kerja penyelenggaraan tidak hanya terhad kepada turapan jalan tetapi merangkumi aset-aset lain seperti cerun, sistem perparitan, aspek mekanikal dan eletrikal, bangunan, landskap, peralatan keselamatan, papan tanda dan lampu jalan.

Beliau berkata penggunaan elemen Revolusi Industri 4.0 dalam menangani kesesakan di lebuh raya perlu ditingkatkan kerana kesesakan yang berlaku tanpa diketahui punca adalah perkara yang tidak boleh diterima. - Bernama

wifi percuma, Plus

Artikel Lain