PETALING JAYA: "Kaki umi selamat dipotong dan kini tugas saya untuk menjaganya," demikian ujar Afifah Mohd Fauzi. Afifah yang berusia 24 tahun memberitahu, ibunya, Nooriha Mohd Nazir sudah selamat menjalani pembedahan memotong kaki sehingga paras lutut akibat kencing manis, Ahad lalu. Sebelum pembedahah itu, Afifah memuat naik status memohon pertolongan untuk mendapatkan darah jenis O negatif untuk ibunya. "Sebelum ini umi kerapa berulang alik ke Hospital Kuala Krai untuk membersihkan luka di bahagian tumit kaki. Namun, pada Khamis lalu doktor memberitahu luka tersebut agak serius dan perlu rawatan yang lebih kerap untuk cuci dan tempoh yang panjang untuk sembuh. "Umi sendiri buat keputusan supaya kakinya dipotong bagi mengelak jangkitan kuman ke tempat lain. "Tetapi masalah utama adalah hospital kekurangan darah jenis O negatif. Mujur hanya tinggal satu beg terakhir dan pembedahan diteruskan. "Sebaik-baiknya umi memerlukan dua beg darah untuk 'standby' memandangkan hemoglobinnya masih rendah. "Hospital di daerah lain juga tidak ada stok darah jenis itu," ujarnya ketika dihubungi mStar Online. Afifah memuatnaik gambar buku lali uminya sebelum dipotong dan memerlukan darah jenis O negatif. Selepas gagal mendapatkan satu lagi beg darah, Afifah mengambil inisiatif meminta pertolongan di laman Twitter mencari pemilik darah jeni O-. "Saya sangat bersyukur ramai rakyat Malaysia yang mengambil berat antara satu sama lain. Ramai yang 'direct message' saya, ulang kicau dan berkongsi status saya itu. "Bukan sahaja dari Kelantan tetapi boleh dikatakan seluruh negeri mahu menderma darah. "Tetapi rata-ratanya masih kurang yang mempunyai darah jenis darah ini. Memang akui darah jenis ini agak sukar ditemui, saya sendiri pun tak sama dengan darah umi. "Ahli keluarga yang ramai ada yang sama, tetapi mereka juga tidak dapat menderma kerana menghadapi penyakit darah tinggi dah kencing manis," jelas anak tunggal ini. Status Afifah mendapat maklum balas dari seluruh negeri. Menurut Afifah, pembedahan kaki uminya berjalan lancar dan susulan itu, dia membuat keputusan untuk berhenti kerja bagi menjaga ibunya. "Buat masa sekarang umi masih di hospital. Kiraan tahap kencing manis masih tinggi. "Saya bersyukur keadaan umi stabil dan dia kelihatan tenang selepas kakinya dipotong. "Mungkin pengalamannya sebagai jururawat di hospital ini membuat umi lebih faham apabila kehilangan anggota badan. "Bagi saya, tidak kisah anggota badan hilang, asalkan selepas ini umi sihat. "Dan saya sendiri akan menjaga umi sehingga dia betul-betul sembuh. Saya baru berhenti kerja bagi menguruskan umi dan membantu ayah. "Tak pe, kerja boleh cari lain. Janji umi sihat kembali dan saya akan cari kerja lain," katanya yang sebelum ini bekerja di sebuah syarikat swasta. Sebelum mengakhiri perbualan, Afifah juga turut menggesa agar sesiapa yang mempunyai darah jenis O negatif supaya dapat didermakan di mana-mana hospital yang berdekatan. "Apabila ada stok di bank darah, ia boleh digunakan dan membantu orang lain yang memerlukan dengan segera. Seperti yang berlaku kepada umi saya ini," katanya.