suria

Anggota bomba diserang perusuh kini kritikal, rancang kahwin bulan depan

Muhammad Adib Mohd Kassim kini berada di unit rawatan rapi. FOTO: Facebook

SUBANG JAYA: Anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim kini sedang bertarung nyawa selepas mengalami kecederaan parah ketika bertugas di lokasi kejadian rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, di sini.

Rakan sepasukannya berkata, satu majlis ringkas akan diadakan di lobi Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby, bagi mendoakan semoga beliau segera sembuh.

Dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi berkenaan pada awal pagi Selasa.

Muhammad Adib, 24, dipercayai mengalami patah tulang rusuk dan kecederaan dalaman setelah diserang perusuh.

Ahli keluarga serta tunang Muhammad Adi iaitu Nurul Najihan turut berada di hospital berkenaan.

Pasangan itu dijangka melangsungkan perkahwinan pada bulan depan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, keadaan Muhammad Adib masih lagi tidak berubah sejak dimasukkan ke wad sekitar pukul 1 pagi, Selasa.

"Dia masih kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan," ujarnya sambil menambah anggota itu mengalami kecederaan di dada yang menyukarkannya bernafas.

"Nampak macam dia dipukul dan dihentak dengan kaki, menyebabkan dia mengalami retak tulang rusuk dan mengalami kerosakan paru-paru.

Tambahnya lagi, lima pakar sedang membuat pemerhatian lanjut ke atas Mihammad Adib.

Dalam pada itu, Zuraida turut menzahirkan kekecewaannya berhubung insiden itu.

"Polis ada bukti yang kukuh untuk menyiasat insiden berkenaan dan saya harap mereka akan menyiasat kes ini dengan teliti," katanya.

Muhammad Adib

Artikel Lain