suria

PTPTN: Himpunan mega jika kerajaan masih angkuh

Muhammad Faizzuddin Mohd Zai (FOTO: Sinar Harian)

KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) memberi amaran untuk mengadakan himpunan bantahan lebih besar sekiranya kerajaan PH masih angkuh melaksanakan polisi pembayaran semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang didakwa menzalimi anak muda.

Presidennya, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, ini kerana para mahasiswa berasa terlalu kecewa dengan sikap Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan yang didakwa tidak berusaha mencari jalan penyelesaian dalam hal itu.

“Apa yang kami perjuangkan bukan sekadar menuntut kerajaan PH tunaikan janji, bahkan ia adalah keperluan yang mendesak buat semua graduan IPT untuk menangguhkan pembayaran hutang PTPTN sehingga ekonomi mereka stabil seperti yang dijelaskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

”Kami mahasiswa kecewa dengan sikap beliau yang telah menikmati gaji yang besar namun malas berfikir untuk mencari jalan keluar daripada polisi yang menekan anak muda khususnya graduan IPTA dan IPTS di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Sabtu lalu, lebih 100 mahasiswa menyertai Himpunan Tuntut Janji PTPTN, dengan berarak ke ibu pejabat PTPTN.

Himpunan anjuran Gamis itu antara lain bagi menggesa kerajaan mewajibkan pembayaran balik PTPTN ke atas individu bergaji RM4,000 ke atas.

Pada masa sama, Muhammad Faizzuddin berkata, pihaknya bersedia untuk membantu PTPTN dalam mencari penyelesaian sekiranya pengerusi agensi itu masih terbuka hati untuk menunaikan janjinya.

“Beliau terlalu banyak memberikan alasan, sibuk mencari salah orang lain dan tidak nampak usaha yang dilakukan untuk meminda polisi yang menekan anak muda.

“Gamis kecewa dengan sikap ambil mudah beliau yang terlalu malas untuk mengadakan sidang meja bulat bersama pemegang taruh di seluruh Malaysia. Apa yang beliau sibuk lakukan selepas menikmati gaji yang besar ialah menjaja di merata tempat bahawa mekanisme untuk menangguhkan pembayaran hutang PTPTN adalah mustahil,” katanya.- Sinar Harian.

Artikel Lain