suria

PLKN jawapan terbaik tangani isu perkauman

PETALING JAYA: Insiden rusuhan yang tercetus di kuil Sri Maha Mariamman Seafield berkemungkinan tidak berulang jika generasi muda terus diberi peluang menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Presiden Pengusaha Kem Khidmat Negara (PKKN), Datuk Seri Ahmad Kamil Ibrahim berkata, anak muda akan lebih memahami budaya setiap kaum jika sama-sama mengikuti pembelajaran yang dirangka menerusi program itu.

Katanya, platform khusus itu perlu untuk memupuk keharmonian dalam kalangan remaja negara dengan menetapkan satu matlamat dan ianya ada dalam silibus PLKN.

"Malahan, program berkenaan juga dapat menyatukan pelbagai kaum dalam satu kem untuk tempoh tertentu hingga membentuk persefahaman dalam kalangan mereka.

"Selama PLKN dilaksanakan, pesertanya begitu akrab antara satu sama lain walaupun berbeza daripada segi agama dan bangsa. Ia juga berlarutan selepas tamatnya sesi latihan," katanya kepada mStar Online.

Beliau berkata, jika di sekolah kebiasaannya golongan remaja ini akan berkumpul sesama mereka mengikut kaum masing-masing, tetapi situasi itu tidak berlaku dalam PLKN.

"Menerusi PLKN, kami akan pastikan anak-anak muda negara tidak bergaul mengikut agama dan bangsa mereka, tetapi mereka sebagai sebuah keluarga besar," katanya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sememangnya menolak amalan perkauman ini seharusnya mempertimbangkan semula untuk menghidupkan kembali PLKN.

"PLKN adalah idea Tun Dr Mahathir Mohamad selepas kejadian pergaduhan di Kampung Medan pada 2001.

"Tetapi apabila beliau sendiri menerajui kerajaan PH, amat mengejutkan apabila tiba-tiba kerajaan sekarang membatalkan program yang mampu membentuk keharmonian rakyat Malaysia," katanya.

PLKN diperkenalkan pada 16 Februari 2004 oleh pentadbiran terdahulu bagi memperkasa nilai jati diri dan kenegaraan belia.

Bagaimanapun, pada Ogos lalu, kerajaan PH telah memansuhkan PLKN berkuat kuasa serta-merta dan ia akan diganti dengan program baharu yang diuruskan Kementerian Belia dan Sukan.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, elemen yang akan diterapkan termasuk bina semangat, pembinaan perwatakan dan integrasi nasional, kenegaraan, jati diri serta sosialisasi politik.

Tambah, Ahmad Kamil, apa yang menyedihkan apabila sehingga kini belum ada pengumuman berkaitan program baharu itu, sedangkan PLKN telah dimansuhkan lebih awal lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain