PETALING JAYA: Musim cuti persekolahan sudah bermula, seperti kebiasaannya bermulalah musim berkhatan bagi kanak-kanak lelaki Islam, sekaligus selesainya salah satu tugas penting ibu bapa terhadap anak mereka. Senyum, risau dan menangis, itulah antara kerenah kanak-kanak ketika dikhatankan. Terbaru, gelagat seorang kanak-kanak yang dikhatankan di sebuah klinik swasta di Melaka pada petang Khamis mencuit hati netizen. Video yang dikongsi Siti Naila Sekan Darkhan menunjukkan anak sulungnya, Mohd Irfan Mohd Fairul, 8, menjerit kesakitan ketika dikhatankan. "Sakit, aduh. Mama sakit sangat mama. Apasal sakit sangat ni? Sakit tolong mama. Mama peluk abang... mama sakit," kata Mohd Irfan atau disapa sebagai Ipan oleh keluarganya. Anak sulung daripada tiga beradik itu sesekali dilihat menjerit meminta tolong kepada ibunya kerana tidak tahan menahan kesakitan. Malah dia turut merayu kepada doktor supaya tidak meneruskan proses berkhatan itu. Ipan bersama ibunya, Siti Naila. - Foto ihsan Siti Naila. "Doktor janganlah doktor, sakit sangat doktor. Aduh... abang tak tahu doktor buat apa... tolonglah mama, dah sakit sangat tolonglah. "Mama ada lagi ke? Ada lagi rupanya. Sakit doktor tolonglah, doktor janganlah. Dah kenapa sakit k**** saya ni," kata Ipan sambil disambut gelak tawa ibunya yang setia menemaninya disisi sepanjang proses tersebut. Menurut Siti Naila, Ipan menyatakan hasrat untuk berkhatan selepas melihat rakan-rakannya selesai berkhatan baru-baru ini. "Kalau ikutkan nak dia berkhatan tahun depan. Sekali dia tengok kawan-kawan dah berkhatan, jadi dia cakap dah bersedia. "Saya pun buat tempahan (berkhatan) di sebuah poliklinik pada Rabu dan petang tadi, Ipan pun selamat dikhatankan," katanya kepada mStar Online. Siti Naila yang juga pengusaha butik pengantin berkata, Ipan bersetuju untuk berkhatan lebih awal selepas dijanjikan untuk mengikutnya ke China pada Januari nanti. "Saya pun janji kalau dia sunat saya akan bawa dia pergi China. Jadi dia pun setuju sebab dia dah lama aim nak beli motosikal kecil. "Jadi alang-alang saya nak beli barang untuk butik pengantin, saya bawalah dia sekali. Dah berjanji kenalah tunaikan," katanya. Siti Naila menyifatkan Ipan sebagai seorang anak yang manja dan banyak bercakap. Sebaik tiba di sebuah poliklinik di Sungai Udang, Melaka, Siti Naila berkata dia terpaksa memujuk Ipan untuk berkhatan. "Sampai-sampai je dia tak nak pula. Tapi saya berjaya pujuk juga. Tu yang dalam video dia membebel dari mula sampai habis,” katanya. Bagaimanapun, bila dah selesai kata Ipan:“Adoi menyesal abang setuju nak khatan.” Siti Naila berkata video tersebut sebenarnya diambil untuk ditunjukkan kepada suaminya yang tidak dapat menemani Ipan semasa proses berkhatan itu. "Saya ambillah video untuk tunjuk dekat suami yang tidak dapat ikut sama kerana menemani anak bongsu kami yang masuk wad akibat semput. "Saya pun kongsi juga di Facebook untuk jadi kenang-kenangan dan tak sangka video Ipan jadi viral," katanya.