SERDANG: Jabatan Pertanian telah melarang penjualan produk lingkaran nyamuk berjenama Zenden Micro-Smoke dan Jianbao Mosquito Coil dari China di pasaran. Ketua Pengarahnya, Datuk Jamal Harizan Yang Razali berkata, hal ini kerana produk-produk tersebut didapati tidak berdaftar secara sah dengan Lembaga Racun Makhluk Perosak (LRMP). Beliau berkata, lingkaran nyamuk yang berdaftar di negara ini akan dinilai tahap keberkesanan, kesesuaian serta kesan sampingannya sebelum ia diluluskan untuk tujuan pemasaran. "Mana-mana premis atau individu yang didapati menjual produk tersebut akan didakwa di bawah Seksyen 20 (3) Akta Racun Makhluk Perosak 1974 yang membawa hukuman penjara tiga tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya. "Bagi pengguna yang memiliki dan menggunakannya boleh didakwa di bawah Seksyen 53A(1)(A) akta yang sama dan jika disabit kesalahan akan dihukum penjara selama setahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian buku ringkasan 'Maklumat Residu Racun Perosak Dalam Tanaman Makanan' sempena Ekspo Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia 2018 (MAHA 2018) di sini, Khamis. Jamal Harizan berkata, sebanyak 3,005 kotak lingkaran nyamuk tidak berdaftar dengan nilai RM5,700 telah dirampas oleh Unit Serbuan dan Penyiasatan, Bahagian Kawalan Racun Perosak dan Baja, Jabatan Pertanian menerusi operasi pada bulan Oktober lepas. Katanya operasi ini akan diteruskan di seluruh negara terutamanya di kedai-kedai runcit bagi membanteras penggunaan produk beracun tidak berdaftar. "Kami mendapati premis perniagaan runcit di sekitar negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak yang banyak menjual produk tersebut," katanya. Sementara itu, katanya lebih 30 jenis produk racun makhluk perosak telah dikenal pasti di seluruh negara yang tidak berdaftar dengan LRMP dan berada di pasaran sepanjang tahun ini menerusi operasi berterusan. "Justeru, para pengguna perlu mengenal pasti produk-produk racun makhluk perosak di pasaran didaftarkan menerusi kod pendaftaran berlabel LRMP terdahulu sebelum membeli atau menggunakannya menerusi laman web Jabatan Pertanian http://www.doa.gov.my. "Jika produk-produk tersebut tidak mempunyai label LRMP dan nombor pendaftaran, pengguna perlu melaporkannya kepada Jabatan Pertanian untuk tindakan selanjutnya bagi menjamin keselamatan pengguna," katanya. - BERNAMA