suria

Empat didakwa atas tuduhan merusuh di kuil

Anggota Unit Berkuda Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat kawalan di pintu hadapan Kuil Sri Maha Mariamman pada Isnin. Foto Bernama

PETALING JAYA: Empat lelaki yang didakwa terlibat dalam kekecohan berkaitan penempatan semula sebuah kuil di Subang Jaya, dihadapkan ke mahkamah majistret di sini, dengan dakwaan melakukan rusuhan dan menggunakan senjata berbahaya.

Kesemua mereka, Muhammad Ridzuan Sekh Ruslan, 26; Irwan Nordin, 38; Mohd Khairi Abd Rashid, 24, dan Rozaihan Jamaludin, 38, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu di hadapan hakim, Nor Ariffin Hisham.

Mereka didakwa kerana hadir semasa rusuhan dan memiliki senjata seperti kapak dan parang.

Mereka melakukan kesalahan tersebut di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Seafield di Subang Jaya antara pukul 2 pagi hingga 5 pagi pada 26 November lalu.

Mereka berdepan dengan pertuduhan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Majistret, Nor Ariffin Hisham kemudian membenarkan semua tertuduh dengan ikat jamin RM10,000 bersama seorang penjamin.

Beliau juga mengarahkan mereka untuk melaporkan di balai polis terdekat sekali sebulan dan menyerahkan pasport mereka sementara menunggu kes selesai.

Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 17 Januari depan.

Sri Maha Mariamman

Artikel Lain