suria

Bukan sekadar makan ayam goreng, kereta pun boleh disewa di KFC

SEBUT sahaja KFC, perkara yang pasti terlintas dalam kepala tentunya keenakan serta kerangupan ayam gorengnya.

Namun siapa sangka syarikat rangkaian makanan segera popular ini kini menjadi lokasi yang menawarkan perkhidmatan sewa kereta secara digital.

Anda hanya perlu datang ke mana-mana cawangan KFC terpilih, muat turun aplikasi perkongsian kereta SOCAR dan kereta sudah ada di depan mata untuk dipandu.

KFC mengembangkan sayapnya dengan menjalinkan kerjasama dengan syarikat aplikasi itu dengan memperkenalkan 12 zon SOCAR di lokasi terpilih KFC sekitar Lembah Klang dan Johor Bahru.

Menurut Pengarah Urusan QSR Brands, Datuk Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil, KFC berhasrat menjadi peneraju dalam menyediakan perkhidmatan berinovatif dalam memberi manfaat kepada pelanggan.

"Kami sentiasa berusaha menjadi yang terawal dalam menyokong dan melaksana perubahan yang sejajar dengan perkembangan terkini.

"Perkongsian kereta adalah sebahagian daripada gaya hidup moden kontemporari dan semakin diterima masyarakat.

"Melalui kerjasama ini, kami menggalakkan kemajuan mobiliti pintar yang bakal memainkan peranan penting pada masa akan datang," ujarnya.

Perkhidmatan sewa kereta itu disediakan bagi memudahkan pengguna bergerak walaupun tidak memiliki kenderaan sendiri.

Menyediakan empat jenis kenderaan iaitu Perodua Axia, Honday City, Honda HRV dan Mini Cooper, sewaan boleh dibuat untuk tempoh masa 30 minit sehingga seminggu dengan kadar serendah RM8.

Lebih menarik, kerjasama ini menawarkan pelbagai ganjaran menarik seperti diskaun, penggunaan SOCAR secara percuma serta e-baucar KFC khas buat para pelanggan.

kfc, socar, sewa kereta

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain