suria

Perhatian 'ulat buku'! 4.5 juta bahan bacaan menanti di Big Bad Wolf

Pengunjung mula memenuhi dewan MIECC untuk membeli-belah pelbagai jenis buku pada hari pelancaran jualan mega BBW 2018.

KUALA LUMPUR: Jualan buku terbesar, Big Bad Wolf (BBW) kembali menemui kalangan pencinta bahan bacaan terbitan dalam dan luar negara sebagai penutup tirai 2018.

Seperti biasa, jualan tersebut yang diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC) dirasmikan pada Khamis dan akan berlangsung sehingga 17 Disember ini.

Sebanyak 4.5 juta buku ditawarkan pada BBW tahun ini sempena tahun ke-10 ia dianjurkan sejak diperkenalkan pada 2009.

'Ulat buku' kali ini berpeluang menikmati potongan harga serendah 75 hingga 95 peratus.

Pengasas bersama jualan mega ini, Jacqueline Ng berkata, jualan tersebut diharap mampu menjadikan buku sebagai bahan bacaan mampu milik yang dapat diakses masyarakat.

Sebanyak 4.5 juta buku ditawarkan pada BBW kali ini.

"Perancangan kami adalah menjadikan buku mampu dimiliki dan boleh diperoleh semua orang.

"Oleh itu, kami berharap untuk menguasai lebih banyak bandar dan negara pada tahun-tahun akan datang kerana mahu menghidupkan kembali keseronokan dalam membaca," katanya ketika menyampaikan ucapan di sini pada Khamis.

Sejak diperkenalkan, BBW berjaya melebarkan sayap ke beberapa negara seperti Thailand, Indonesia, Filipina, Sri Lanka dan Taiwan.

Jualan yang berlangsung sepanjang 24 jam itu menawarkan pelbagai genre buku terdiri daripada tiga bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Melayu dan Cina.

Antara buku yang terdapat di BBW 2019 adalah novel, 'best-seller', perniagaan, seni bina, kesenian, masakan dan bahan bacaan kanak-kanak.

Sementara itu, seorang pengunjung, Salasiah Radzali, 38, berkata, tahun ini merupakan tahun kelima beliau mengunjungi jualan BBW dan enggan melepaskan peluang untuk menambah koleksi buku pada harga rendah.

Salasiah menunjukkan buku-buku yang sudah dipilih untuk dibeli.

"BBW sudah jadi acara yang ditunggu-tunggu oleh saya dan suami kerana buku yang ada di sini semuanya menarik.

"Setiap tahun ia bertambah bagus dan semakin banyak sehingga saya rambang mata dan sebab itu saya datang ke sini pada hari pertama supaya dapat memilih buku-buku yang diingini.

"Paling sedikit saya akan berbelanja sebanyak RM200 setiap kali ke sini" katanya yang menggemari buku-buku fiksyen, jenayah, sastera dan masakan. 

BBW, MIECC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Tun M bimbang rasuah jadi budaya

Artikel Lain