suria

Sistem bayaran balik fleksibel PTPTN ditangguh - Maszlee

PETALING JAYA: Sistem bayaran balik pinjaman fleksibel (ICLR) untuk pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan ditangguhkan buat masa ini, kata Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Menerusi tulisan di laman sosial Twitter miliknya, beliau berkata: "Skim bayaran balik ICLR PTPTN akan ditangguhkan buat sementara waktu sehingga kita menerima input dan maklum balas kolektif daripada pihak berkepentingan."

Beberapa pihak membalas perkongsian tersebut dengan menyatakan bahawa ia merupakan langkah yang bijak.

Malah, ada yang mempersoalkan bahawa pihak berkepentingan perlu berunding terlebih dahulu sebelum keputusan dibuat.

Rabu lalu, Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan mengumumkan skim potongan bulanan baharu bagi peminjam dengan gaji RM2,000 ke atas, mulai 1 Januari 2019.

Potongan tersebut akan melibatkan antara 2 peratus hingga 15 peratus daripada gaji peminjam.

Seorang peminjam dengan gaji bulanannya RM2,000 perlu membayar RM40 sebulan manakala mereka yang memperoleh RM8,000 perlu mengeluarkan RM1,200.

Pengumuman itu mendapat pelbagai reaksi, dengan kebanyakannya berpendapat bahawa ia tidak adil dan tidak masuk akal.

Beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mengetepikan perbezaan mereka, dengan menyuarakan kebimbangan mereka mengenai perkara tersebut.

Wan Saiful juga menyatakan beliau bersedia untuk mempertimbangkan rayuan daripada mereka yang memerlukan pertimbangan khusus dalam pembayaran balik pinjaman mereka. - The Star

Artikel Lain