suria

Najib persoal hasrat kerajaan batal AIM, sedih nasib golongan miskin

SHAH ALAM: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kerajaan PH sebagai tidak adil kepada masyarakat luar bandar dan hanya menjadi kerajaan untuk kroni sahaja.

“Setelah melihat langkah-langkah dan dasar-dasar kerajaan PH, saya pernah bertanya di Dewan Rakyat jika kerajaan ini ialah kerajaan untuk orang bandar, orang kaya dan kroni-kroni sahaja.

“Nampaknya, jawapan sudah jelas dan nyata,” katanya dalam perkongsian di laman sosial Facebook miliknya.

Najib memuat naik status itu sebagai maklum balas kepada pengumuman kerajaan yang berhasrat membatalkan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Ahli Parlimen Pekan itu turut berkongsi kesedihannya dengan tindakan kerajaan, hari ini.

“Selepas ini ibu miskin di kampung nak pinjam (duit) dari siapa? Dari ah long?

“Saya amat sedih melihat bantuan untuk golongan miskin terus dimansuhkan atau dikurangkan.

“Pada masa yang sama, golongan yang kaya dan peniaga-peniaga yang sering mengelak cukai mendapat manfaat daripada langkah seperti menghapuskan GST (cukai barangan dan perkhidmatan) dan pemberian dana kepada pihak swasta seperti dana R&D (penyelidikan dan pembangunan) yang berbilion-bilion tingginya,” katanya.

Najib berkata, apa salahnya untuk kerajaan memberi sedikit bantuan kepada penduduk miskin di luar bandar untuk membiayai aktiviti perniagaan kecil-kecilan untuk tambah pendapatan mereka.

“Peratusan bayaran balik adalah tinggi pada 98.26 peratus, jelas menunjukkan kebanyakkan orang miskin dan orang kampung adalah jujur. Oleh itu, mengapa nak batalkan?

“Setiap bajet tahunan saya tambah dana untuk AIM. Walaupun tiada tambahan dalam belanjawan 2019 tetapi tak sangka saya mereka mahu batalkan AIM,” katanya.

Terdahulu Najib memberitahu, program AIM telah dijalankan bertahun-tahun dan sudah membantu berjuta rakyat miskin terutama di luar bandar bagi tingkatkan pendapatan mereka.

“Saya percaya ramai rakyat Malaysia hari ini pernah menerima manfaat dari AIM dan tahu betapa objektif AIM berjaya dicapai mengeluarkan golongan miskin keluar dari kepompong kemiskinan.

“AIM sudah dibuktikan sebagai satu inisiatif yang boleh dan dapat membasmi kemiskinan tegar dan mengurangkan jurang pendapatan antara yang kaya dengan miskin dan antara bandar dan luar bandar,” katanya.

Najib turut mempersoalkan tentang alasan kerajaan hendak membubarkan AIM.

“Alasan yang diberi oleh kerajaan PH untuk membatalkan AIM ialah kerana wujudnya pelanggaran undang-undang oleh pentadbiran terdahulu. Apa sebenarnya kesalahan ini juga tidak dinyatakan.

“Jika tuduhan-tuduhan ini betul, ambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang bersalah dan perbetulkan pentadbiran AIM, bukan dengan membatalkan AIM dek tindakan beberapa individu,” katanya. - Sinar Harian.

AIM, Datuk Seri Najib Razak

Artikel Lain