PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan menghadiri program sambutan Hari Hak Asasi Manusia anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) di Padang Timur, di sini, esok. Perdana Menteri berkata agak mustahil untuk beliau menghadiri sambutan tersebut kerana perbezaan pendirian antara kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinannya dan Suhakam berhubung Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). “Saya sudah memutuskan bahawa kerajaan tidak akan menerima ICERD. Suhakam pula mahu ICERD diterima...jadi macam mana saya boleh pergi,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di Menara Yayasan Selangor, di sini, Sabtu. Perhimpunan sempena Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa 2018 itu pada asalnya dijadual berlangsung hari ini dengan Dr Mahathir dijemput Suhakam sebagai tetamu khas, namun ditangguhkan ke esok atas nasihat pihak berkuasa. Hari ini juga menyaksikan penganjuran perhimpunan berasingan bagi menolak ICERD di ibu negara yang turut disifatkan penganjurnya sebagai perhimpunan menzahirkan 'kesyukuran' atas keputusan kerajaan untuk tidak meratifikasi ICERD. Pada 23 November lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata kerajaan PH tidak akan meratifikasi ICERD dan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan di mana termaktub kontrak sosial dipersetujui wakil semua kaum ketika pembentukan negara ini. Bagaimanapun, Suhakam dalam kenyataan pada 27 Nov lalu, menyebut ia kecewa dengan keputusan kerajaan. Dr Mahathir seterusnya berkata sambutan anjuran Suhakam itu dipinda ke esok kerana polis tidak mempunyai anggota mencukupi untuk mengawal dua perhimpunan jika diadakan pada hari sama. “Bukan kita larang ada demonstrasi. Tidak. Demonstrasi boleh ada tetapi kita minta supaya ditangguh ke hari lain supaya polis tidak tertekan kerana pegawai mereka tidak cukup untuk mengawasi perhimpunan yang besar-besar,” katanya. Namun bila ditanya sama ada beliau akan menyertai perhimpunan di ibu negara itu, Dr Mahathir berkata: “Tidak. Saya dah bersyukur cukup dah. Saya buat satu keputusan yang baik, saya bersyukur saya boleh buat keputusan yang terbaik,” katanya.