suria

Berita baik! AirAsia akan sedia penerbangan khas ke Hanoi

KUALA NERUS: Penyokong Harimau Malaya berpeluang ke Hanoi dengan menaiki penerbangan khas AirAsia sempena aksi final kedua Piala AFF Suzuki 2018, Sabtu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata, jumlah pesawat yang bakal disediakan bagaimanapun bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa lapangan terbang Hanoi.

Ia juga bergantung kepada permintaan dan prestasi pasukan negara dalam perlawanan final pertama, Selasa ini.

Penerbangan khas itu secara tidak langsung dapat memastikan skuad negara mendapat sokongan padu bagi memenangi kejohanan itu, katanya selepas program ‘Executive Talk Air Asia: From Zero to Hero' bersama warga Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini pada Ahad.

"Kita akan menggunakan pesawat yang lebih besar jika diberi kelulusan di samping akan turut menambah bilangan pesawat," katanya.

"Buat masa ini kita tidak pasti lagi jumlahnya tetapi penting untuk kita lihat bagaimana persembahan skuad negara pada lusa dan jika prestasi mereka cemerlang sudah pasti ramai penyokong mahu bertandang ke Hanoi," katanya.

Turut hadir Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi A. Latif.

Pada aksi separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional Rajamangala, Thailand baru-baru ini, AirAsia menyediakan sebuah pesawat penerbangan khas membawa penyokong Harimau Malaya khususnya anggota kelab Ultras Malaya.

Perlawanan akhir Piala AFF Suzuki menggunakan format timbal balik dengan skuad negara akan melayan kunjungan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil terlebih dahulu pada Selasa ini sebelum aksi final kedua di Hanoi pada Sabtu, 15 Dis. - Bernama

Piala AFF Suzuki 2018, AirAsia

Artikel Lain