suria

Pilu tiga ibu rayu anak pulang

KUALA LUMPUR: Pilu menyelubungi perasaan tiga ibu, selepas masing-masing kehilangan anak tersayang.

Suri rumah, Ng Kim Hong, 38, berkata, anak perempuannya berusia 17 tahun, Siew Kai Leng hilang selepas keluar bersama seorang lelaki bernama Ah Hong pada 31 Ogos 2017.

"Ah Hong berjanji untuk bawa anak perempuan saya pulang pada pukul 10.30 malam, tetapi dia tak pernah balik. Ah Hong kemudian mendakwa anak saya dibawa oleh seorang lelaki lain selepas makan malam di Kepong," katanya pada sidang media yang diadakan oleh Ketua Jabatan Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong.

"Kami telah menyiarkan gambar dan butiran anak perempuan saya di Facebook, dan meminta orang ramai mencarinya. Tetapi selepas lebih setahun, kami masih tidak dapat mencari dia," kata ibu kepada lima anak dari Rawang itu.

Kim Hong berkata, Ah Hong turut membuat laporan polis dengan mengatakan gadis tersebut hilang selepas keluar dari keretanya.

Bagaimanapun, dia mendakwa laporan polis yang ditunjukkan oleh Ah Hong tidak menyebut maklumat mengenai lelaki lain.

Menurut Kim Hong, dia bersemuka dengan Ah Hong, menyebabkan pemuda tersebut berang lalu memukulnya.

Remaja perempuan berusia 17 tahun itu merupakan antara tiga individu yang hilang, diumumkan pada Khamis.

Pemuda berusia 22 tahun, Nicholas Choo Chee Hong terputus hubungan dengan keluarganya sejak September 2018, dan Leong Wan Fong, 34, kali terakhir dilihat pada Januari 2017.

Ibu Chee Hong, Lai Chooi Yeow, 54, berkata, anak lelakinya berkunjung ke Singapura untuk bekerja sebagai pekerja bahagian pengubahsuaian pada Julai tahun ini, dan pergi ke China pada 17 September lalu.

Kata Chooi Yeow, anak lelakinya tidak dapat dihubungi sejak 24 September, hari sepatutnya dia pulang ke tanah air.

Sementara itu, ibu Wan Fong iaitu Wong Ah Kiew, 58, merayu supaya anak perempuannya pulang ke rumah.

"Dia berkahwin dan mempunyai dua anak. Anaknya berusia lapan dan 10 tahun, saya sangat rindukan mereka," katanya.

Michael menggesa orang ramai untuk memaklumkan kepada polis sekiranya mereka menjumpai individu yang dilaporkan hilang.

"Mereka juga boleh menghubungi Jabatan Aduan dan Perkhidmatan Awam di talian 03-22033888," tambahnya. - The Star

Michael Chong

Artikel Lain