KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo pada Ahad menafikan kenyataan mengenai pengharaman artis Korea untuk melakukan persembahan di Malaysia berkuat kuasa 2020. “Kenyataan ini tidak benar. Tiada halangan sebegini diputuskan sama sekali. Harap maklum,” katanya dalam catatan Twitter, Ahad. Beliau memberi respons terhadap paparan grafik oleh seorang pengguna Twitter berhubung kenyataan itu yang menyebut: “Kesemua artis Korea diharamkan untuk melakukan persembahan di Malaysia berkuat kuasa 2020. “Kami di pihak kerajaan akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk melakukan sekatan." Bagaimanapun, paparan grafik itu dipadamkan setelah Gobind mengulang kicau (retweet) paparan itu. - Bernama