suria

Bersatu tubuh jawatankuasa teliti, tapis bekas pemimpin Umno

Muhyiddin Yassin.

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk meneliti dan menapis permohonan keahlian bekas pemimpin Umno.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata jawatankuasa yang dipengerusikan timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan meneliti setiap permohonan yang diterima bagi memastikan pemohon tidak terpalit dengan sebarang amalan rasuah, salah guna kuasa dan jenayah.

"Bersatu akan mendapatkan kerjasama daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) untuk melaksanakan proses tapisan ini.

"Selain itu, penilaian dari sudut politik juga akan dilakukan secara dalaman," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jelas Muhyiddin lagi, keputusan setiap permohonan akan diputuskan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu selepas menerima laporan daripada jawatankuasa tersebut.

"Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu akan membuat keputusan samada menerima atau menolak permohonan tersebut setelah menerima laporan daripada jawatankuasa ini," katanya.

Mengenai permohonan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, Muhyiddin berkata keputusan adalah tertakluk kepada proses tapisan yang dilakukan jawatankuasa tersebut.

"Adalah tidak adil di peringkat ini untuk mengandaikan bekas pemimpin Umno yang menyerahkan borang permohonan keahlian telah diterima menjadi ahli secara automatik.

"Permohonan mereka hendaklah dinilai terlebih dahulu sebelum Majlis Pimpinan Tertinggi membuat sebarang keputusan mengenainya," kata Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri.

Pada Khamis lalu, bekas Ketua Puteri Umno, Datuk Mas Ermieyati sah menyertai Bersatu kerana ingin mencari penyelesaian yang lebih berkesan dalam membela kepentingan terutamanya pengundi di parlimennya, Masjid Tanah.

Sehari kemudian, veteran Umno Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad turut mengikut jejak langkah Ahli Parlimen Masjid Tanah itu.

Turut menyertai Bersatu adalah bekas Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mustapa Mohamed yang juga Ahli Parlimen Jeli pada 27 Oktober lalu.

Bersatu, Umno

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain