suria

"Saya akan sentiasa beritahu anak betapa baiknya kamu Adib"

Gambar yang dikongsi Prema mendapat perhatian netizen.

PETALING JAYA: Pertemuan dengan keluarga ini hanya sekejap, namum pemergian Muhammad Adib Mohd Kassim pada malam Isnin lalu turut memberi kesan buat mereka yang pernah mengenali anggota bomba berusia 24 tahun itu.

Prema Mathibalan berkongsi pengalamannya bertemu dengan Muhammad Adib yang disifatkan sebagai seorang yang amat baik.

Malah wanita tersebut turut berkongsi beberapa keping gambar anak lelakinya bersama jejaka tersebut dalam satu majlis di Facebook miliknya.

"Bersemadilah dengan tenang wira. Anak lelaki saya mempunyai memori bersama anda.

Gambar kenangan keluarga Prema bersama Muhammad Adib dan rakan setugasnya.

"Saya akan sentiasa beritahu anak saya betapa baiknya kamu Adib. Saya hilang kata-kata," tulisnya.

Posting tersebut turut mengundang sebak netizen yang turut berasa sedih dengan insiden menimpa Muhammad Adib.

Malah Prema juga kecewa dengan tindakan tidak berperikemanusiaan sekumpulan perusuh sehingga menyebabkan nyawa anggota bomba yang tidak berdosa itu terkorban.

"Saya marah... saya sedih. Anda tidak patut diperlakukan sedemikian. Bersemadilah dengan tenang wira," katanya.

Jelas Prema dia sebak setiap kali melihat gambar Muhammad Adib yang dirakam sebagai kenangan bersama ahli keluarganya.

"Melihat dia berdiri di dalam semua gambar... bolehkah mereka yang melakukan perkara itu mengembalikannya semula.

"Tidak adil... tidak adil... tidak adil itulah perkataannya," kata Prema.

Muhammad Adib dilihat sedang melakukan tugasnya.

Posting tersebut bersama tiga gambar kenangan keluarganya bersama Muhammad Adib menjadi tular di media sosial dan dikongsi lebih 3,000 kali oleh netizen.

Muhammad Adib disahkan meninggal dunia pada 9.41 malam Isnin selepas tiga minggu bertarung nyawa akibat parah dibelasah dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield pada 27 November lalu.

Pada petang Ahad, pihak IJN memaklumkan tahap kesihatan Muhammad Adib semakin merosot dan fungsi paru-parunya mengalami penurunan beransur-ansur.

Pihak IJN mengambil keputusan memasukkan semula sistem Veno-Venous ECMO pada 9 malam, Ahad untuk membantu keperluan sistem pernafasannya.

Muhammad Adib, bomba

Artikel Lain