PUTRAJAYA: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands akan diadakan pada 26 Januari 2019. Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun berkata hari penamaan calon diadakan pada 12 Januari, manakala hari mengundi awal pada 22 Januari. "Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah 14 hari, bermula pada hari penamaan calon sehingga pukul 11.59 malam 25 Januari 2019," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat urusan PRK Cameron Highlands, di sini, Rabu. Azhar berkata daftar pemilih yang akan digunakan untuk PRK tersebut adalah sehingga suku ketiga 2018 yang mengandungi 32,009 pemilih berdaftar terdiri daripada 31,750 pengundi biasa, pengundi awal (247), pengundi tidak hadir luar negara (12). "Bagi PRK ini, SPR menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi," katanya. Pada PRK Cameron Highlands, Azhar berkata SPR buat pertama kalinya akan menyiarkan proses pengiraan undi di satu saluran terpilih secara langsung melalui media sosialnya bagi memberi pendedahan kepada umum. "Ini juga dilakukan supaya proses pengiraan undi lebih telus. Kita buat percubaan di satu saluran sahaja kerana infrastruktur jalur lebar agak terhad di Cameron Highlands, tetapi di masa hadapan mungkin kita akan lebihkan lagi saluran terlibat," katanya. Katanya SPR juga akan menyiarkan kepada umum keputusan awal PRK iaitu keputusan yang tertakluk kepada pengesahan melalui laman sesawang SPR dan paparan skrin di pusat penjumlahan rasmi undi. Selain itu, Azhar berkata bagi memudahkan seramai 385 golongan kurang upaya (OKU) yang telah dikenal pasti, mereka akan mengundi di saluran satu. Bagi menjalankan proses PRK itu, katanya SPR bersetuju melantik Pegawai Daerah Cameron Highlands Datuk Ishak Md Napis sebagai pegawai pengurus pilihan raya.Azhar berkata SPR akan menggunakan Bilik Gerakan Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands sebagai pusat penamaan calon, manakala pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah. Menurutnya seramai 811 petugas dilantik untuk mengendalikan proses PRK P.078 Cameron Highlands. Tambahnya sebanyak 31 pusat mengundi akan dibuka melibatkan keseluruhan 88 saluran dengan perbelanjaan dianggarkan sebanyak RM3.5 juta. PRK Cameron Highlands adalah PRK kelima diadakan selepas PRU14 dengan yang pertama diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos; DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September); serta Parlimen Port Dickson (13 Oktober). PRK itu diadakan berikutan penyandangnya Datuk C. Sivarraajh gagal mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang mengisytiharkan bahawa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi kawasan itu adalah terbatal dan tidak sah.Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, Sivarraajh daripada Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands yang melibatkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi. Sivarraajh memperoleh 10,307 undi, menewaskan empat calon lain iaitu calon DAP M. Manogran yang meraih 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud (PAS - 3,587 undi); Mohd Tahir Kassim (Berjasa - 81 undi) dan B Suresh Kumar (PSM - 680 undi). Manogaran, 59, memfailkan petisyen pilihan raya pada 4 Jun lepas dengan memohon pengisytiharan bahawa keputusan PRU14 bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Pada 30 November lepas, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan BN bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada PRU14 adalah terbatal dan tidak sah selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu. Dewan Rakyat semalam menerima surat pemakluman daripada pengerusi SPR mengenai kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Cameron Highlands mulai 15 Disember lepas.-- Bernama