suria

Jutaan kelapa tempatan tak laku!

GEORGE TOWN: Kelapa tempatan terbiar di ladang-ladang dan gudang-gudang di negara ini, berikutan kelapa yang diimport dari negara-negara jiran menjadi pilihan rakyat Malaysia kerana harganya lebih murah.

Keadaan itu mencetuskan bantahan dalam kalangan pembekal kelapa tempatan kerana mereka perlu menghabiskan stok sebelum buahnya rosak atau bercambah.

Seorang pembekal A. Anbarasan, 64, berkata, ini adalah kali pertama perkara sedemikian berlaku sejak dia menceburi perniagaan itu 27 tahun lalu.

"Tahun ini sahaja, jualan kelapa merosot lebih daripada tiga kali.

"Biasanya, saya boleh mengedar secara purata 350,000 biji kelapa sebulan, tetapi sekarang saya hanya boleh jual antara 100,000 dan 120,000 biji sebulan sejak April.

"Di Perak sahaja, saya mempunyai kira-kira 70,000 biji yang disimpan di Sitiawan dan kira-kira 300,000 perlu dicabut sabutnya di ladang di Bagan Datuk," katanya dalam satu temuramah.

Anbarasan menganggarkan "beberapa juta" kelapa tidak dijual kerana ramai pembekal di negeri lain mengatakan mereka mengalami nasib yang sama.

Anbarasan, yang juga menjual kelapa segar di dua kedai di Jalan Penaga dan Jalan Abu Siti di Pulau Pinang, percaya pasaran dibanjiri kelapa murah dari Indonesia dan Thailand, sehingga menyebabkan lebihan bekalan di pasaran tempatan.

"Perladangan tempatan kita menghasilkan kelapa yang cukup untuk pengguna. Tetapi kerana yang tempatan lebih berkualiti, harganya lebih mahal. Dan pengguna hanya mahu mendapatkan kelapa murah," katanya.

Anbarasan berkata, harga pasaran bagi kelapa Malaysia adalah antara RM1.20 dan RM1.50 sebiji, tetapi kelapa dari Indonesia boleh mencapai serendah 80 sen sehingga RM1 sebiji.

"Jika anda mengimport kelapa dari Indonesia, satu tan atau kira-kira 1,000 buah kelapa hanya berharga RM550, atau 55 sen sebiji," katanya.

Anbarasan dan isterinya, P. Sarasvathy, 60, yang membantu menjual minuman kelapa di Lorong Abu Siti, menggesa kerajaan untuk meneliti perkara tersebut secara serius dan menghentikan kelapa import bagi menjamin industri kelapa tempatan.

Seorang lagi pembekal kelapa, A. Loganathan, 49, di Lorong Selamat, juga berhadapan dengan kesuntukan masa.

"Saya mempunyai lebih 200,000 kepala di pokok dan hanya kira-kira sebulan saja lagi tinggal untuk memetiknya.

"Susah nak jual sekarang ni. Bila kelapa-kelapa ini sudah bercambah, ia tidak boleh dijual kerana susunya hanya sesuai untuk penghasilan minyak," katanya, sambil menambah bahawa kelapa tidak dipetik terlebih dahulu bagi menjaga kesegarannya.

Loganathan yang berkecimpung dalam perniagaan ini selama 25 tahun berkata, dia kecewa ramai pembeli memilih kelapa dari Indonesia.

"Kualiti kelapa dari Indonesia 'tak berapa ok', tetapi orang kita tidak kisah kerana harganya lebih murah.

"Kalau anda pergi ke pasar, anda boleh lihat kelapa tempatan jauh lebih baik dan lebih banyak air," katanya. - The Star

kelapa

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan