suria

Warga emas tak sempat tunai umrah, dijemput Ilahi kurang 2 jam sebelum mendarat

Gambar hiasan.

HASRAT lapan sekeluarga dari Sabak Bernam, Selangor untuk mengerjakan umrah bersama tidak kesampaian apabila seorang daripada mereka dijemput Ilahi ketika dalam pesawat ke Madinah.

Wanita warga emas berkenaan, Khatijah Soleh yang menghidap penyakit diabetis dan darah tinggi itu menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira pukul 2 pagi (waktu Malaysia) ketika pesawat melintasi ruang udara Doha.

Hanya beberapa minit sebaik pesawat berlepas, nenek berusia 63 tahun ini mula menghadapi masalah kesihatan akibat kekurangan gula.

Difahamkan, dia tidak mendapat suntikan insulin untuk penyakit diabetis kerana telah meletakkan bekalan ubat berkenaan dalam bagasi yang ditempatkan di ruang kargo pesawat.

Keluarga berkenaan bertanggapan sebarang cecair termasuk ubat-ubatan tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam pesawat.

Sebaik dimaklumkan oleh ahli keluarga mengenai keadaan warga emas itu, kru pesawat MH8232 bertindak pantas membantunya. 

Pada awalnya, wanita berkenaan menunjukkan maklum balas baik, bagaimanapun kesihatannya kembali merosot beberapa minit kemudian.

Susulan itu pengumuman dibuat untuk mendapatkan pertolongan doktor dalam kalangan penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) itu.

Beberapa doktor dalam kalangan jemaah Indonesia tampil membantu dengan pelbagai cara termasuk memberi bantuan oksigen.

Bagaimanapun, selepas kira-kira enam jam, warga emas itu yang semakin lemah akhirnya meninggal dunia.

Beliau menghembuskan nafas terakhir di hadapan suami, anak, menantu dan cucunya yang bersama untuk mengerjakan ibadah umrah bersama Zahafiz Travel & Tour Sdn Bhd.

Sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Muhammad Abdul Aziz, jenazah akan dibawa ke hospital di Madinah sebelum dikebumikan. 

umrah

Artikel Sebelum

Jutaan kelapa tempatan tak laku!

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan