suria

20 kereta tersadai, Petronas mohon maaf!

PETALING JAYA: Stesen Petronas Solaris Besraya kini ditutup buat sementara waktu susulan insiden kira-kira 20 kereta tersadai selepas mengisi petrol di stesen minyak tersebut pagi Jumaat.

Petronas Dagangan Berhad (PDB) dalam satu kenyataan berkata pihaknya kesal dan memohon maaf atas insiden tersebut.

"Kami memandang serius perkara tersebut dan memohon maaf kepada semua pelanggan di atas kesulitan yang berlaku akibat insiden tersebut.

"Kami sudah berhubung dengan pelanggan yang terjejas dan mengambil pendekatan yang sewajarnya serta akan membayar pampasan kepada mereka," katanya.

PDB berkata penilaian awal mendapati insiden itu berpunca daripada kesilapan dalam mengendalikan produk mereka yang hanya berlaku di stesen minyak tersebut.

"Susulan itu, Stesen Petronas Solaris Besraya kini ditutup buat sementara waktu sementara siasatan dijalankan.

"Kami memberi jaminan bahawa Stesen Petronas lain tidak terjejas. Kami bertanggungjawab sepenuhnya berhubung insiden itu dan memohon maaf sekali lagi," katanya.

Terdahulu, puluhan kenderaan dipercayai tersadai berhampiran Kilometer 7, dekat Lebuhraya Sungai Besi, dekat Serdang, kira-kira pukul 7 pagi Jumaat.

Semua kenderaan berkenaan difahamkan mengalami masalah enjin dan mati secara mendadak selepas mengisi minyak di sebuah stesen minyak di lebuh raya berkenaan.

Kejadian tersebut turut tular di laman sosial selepas mendakwa tangki simpanan petrol di stesen minyak itu dikatakan sudah bercampur dengan diesel, malah ada juga yang mendakwa ia dimasuki air.

Petronas, tersadai

Artikel Lain