RINGKAS, tapi ia cukup bermakna. Itulah yang dapat digambarkan bagi sambutan makan malam romantis oleh si suami sebagai tanda sayang sempena ulang tahun kelahiran isteri tercinta. Si isteri, Rosdiana Sabarrudin masih dalam tempoh berpantang selepas melahirkan seorang puteri pada 28 November lalu. Memandangkan pergerakan wanita berusia 29 tahun itu agak terbatas, suaminya, Wan Ahmad Syarafi Wan Mohamed, 30, mendapat ilham untuk meraikan sambutan hari jadi Rosdiana dengan hidangan makan malam yang diterangi cahaya lilin hanya di atas meja makan ruang tamu di kediaman mereka. "Isteri saya masih dalam pantang dan tak sampai 40 hari lagi. Jadi, saya tak boleh nak bawa dia sambut di luar. "Idea untuk buat candlelight dinner ini muncul secara spontan ketika saya jalan-jalan cari kek dan terjumpa kedai belon... di situ saya dapat idea untuk buat kejutan buat isteri," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin. Kali pertama menyambut ulang tahun isteri selepas berumah tangga. Tambah pekerja operasi jualan itu, dia berasa tidak lengkap sekiranya tidak dapat meraikan isterinya yang sudah bertarung nyawa melahirkan zuriat pertama mereka dan lebih-lebih lagi ini merupakan tahun pertama mereka menyambutnya sebagai pasangan suami-isteri. Ia sebagai tanda betapa kasih saya buat isteri. Selain kek, Wan Ahmad Syarafi yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan turut memasak sup ayam dan ikan selar stim limau sebagai menu hidangan makan malam tersebut. "Bila berpantang ni, dia tak boleh makan sembarangan dan 'baby' pula masih dalam perhatian doktor kerana mengalami penyakit kuning (jaundis) . "Bagi saya seorang suami, kita perlu selalu memahami isteri. Isteri tak akan bagi tahu apa yang dia mahukan, tapi kita sepatutnya kena faham... buatlah kejutan walaupun ia ringkas," ujarnya yang tinggal di Sentul, Kuala Lumpur. Kenangan bermakna itu turut dikongsikan oleh Wan Ahmad Syarafi ke laman Facebook pada awal pagi Isnin sempena tarikh kelahiran isterinya yang jatuh pada tanggal 31 Disember. Dekorasi 'candlelight dinner' yang disediakan oleh Wan Ahmad Syarafi untuk meraikan sambutan hari jadi isterinya. Sementara itu, Rosdiana berkata, dia amat menghargai usaha suaminya untuk menggembirakan dirinya walaupun ia bukan diraikan di restoran mewah. "Saya terkejut dan gembira kerana dapat suami romantik. "Saya memang tak tahu dia buat kejutan sampai macam tu sebab saya ingatkan dia masak untuk makan malam je," ujarnya. Menurut wanita yang mesra disapa Diana itu, sebagai isteri, dia tidak pernah mengharapkan kejutan yang mahal-mahal kerana mengetahui kemampuan suaminya. Bagi Rosdiana, dia sudah cukup bersyukur kerana dijodohkan dengan suami yang sangat penyayang dan memahami.