suria

Sultan Nazrin tamat tugas memangku YDP Agong

Sultan Nazrin (enam, kanan) dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara (empat, kiri) tiba di Istana Perak, Changkat Persekutuan selepas Istiadat Mengucap Selamat Berangkat, Isnin. - Bernama

KUALA LUMPUR: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada Isnin  berangkat meninggalkan Istana Negara setelah menamatkan tugas  memangku Yang di-Pertuan Agong selama dua bulan.

Sultan Nazrin yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong serta Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim sebelum itu berkenan menghadiri Istiadat Mengucap Selamat Berangkat sebelum pasangan diraja berkenaan meninggalkan perkarangan Istana Negara kira-kira 5 petang.  

Istiadat yang berlangsung di Dewan Seri Maharaja dimulakan dengan bacaan warkah menjunjung kasih oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Istiadat diteruskan dengan penyampaian cenderamata oleh Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali kepada pasangan diraja itu.

Keberangkatan pulang baginda berdua ke Istana Hinggap Perak di sini diiringi  lambaian 500 pegawai dan warga kerja Istana Negara.         

Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan isteri Datin Seri Hamidah Osman mengiringi keberangkatan baginda berdua.

Majlis turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Yusof dan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Sejurus tiba di Istana Hinggap Perak, panji peribadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong diturunkan oleh lapan anggota tentera diketuai Staf Sarjan Mohd Shaiful Abdul Rashid.

Panji tersebut dilipat dan diserahkan kepada Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Istiadat di Istana Perak diakhiri dengan upacara menaikkan panji peribadi Sultan Perak.

Pada 2 Nov lalu, Sultan Nazrin Shah menandatangani watikah perisytiharan menjalankan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong sepanjang ketiadaan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V sehingga Isnin. - Bernama

Sultan Nazrin

Artikel Lain