suria

Beri ruang kepada Tun M pimpin kerajaan bagi tempoh dipersetujui - Anwar

Anwar (kiri) berjabat tangan dengan Dr Mahathir dalam pertemuan mereka pada Rabu.

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad perlu diberikan ruang untuk memimpin kerajaan bagi tempoh yang dipersetujui, kata penggantinya yang telah ditetapkan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden PKR itu menulis di akaun Twitternya pada Rabu selepas apa yang dikatakannya adalah pertemuan selama sejam bersama Perdana Menteri.

Walaupun masa pertemuan dinyatakan, tetapi 'tempoh persetujuan' tidak dimaklumkan.

Menurut Anwar, Dr Mahathir mempunyai sokongan penuh Pakatan Harapan (PH).

Menerusi tulisan seterusnya berhubung perkara itu, Anwar berkata, beliau telah berkongsi butiran mengenai pertemuannya bersama Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, baru-baru ini dengan Perdana Menteri.

Beliau juga meminta bimbingan Dr Mahathir untuk pertemuannya dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi, minggu depan.

Menurut Anwar, beliau dan Dr Mahathir bersetuju dengan 'strategi yang sama mengenai Singapura', dengan cara yang sama memberi tumpuan kepada ekonomi, terutama 'kemiskinan dan ketidakadilan'.

Sebelum PRU-14, parti-parti komponen PH bersetuju bahawa sekiranya gabungan itu menang, Dr Mahathir akan menjadi PM selama dua tahun sebelum menyerahkan jawatan tersebut kepada Anwar.

Dr Mahathir berkata, beliau akan memegang kata-katanya kerana beliau 'hanyalah Perdana Menteri sementara', walaupun terdapat gesaan daripada dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) supaya memegang jawatan itu sehingga pilihan raya umum akan datang. - The Star

Artikel Lain