suria

Salah guna dadah & alkohol, polis ambil keterangan penganjur Neon Countdown 2019

Gambar hiasan. - Facebook Neon

SEREMBAN: Polis telah mengambil keterangan penganjur program sambutan tahun baharu Neon Countdown 2019 yang diadakan di Tasik Villa Resort International, Port Dickson bagi membantu siasatan berhubung pelanggaran Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata keterangan wanita berusia 36 tahun itu diambil selepas dia ditahan polis pada 9.45 malam Selasa.

“Dia telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil. Siasatan kes diteruskan mengikut Seksyen 15 Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya ketika dihubungi, di sini pada Rabu.

Menurutnya siasatan polis mendapati program yang berlangsung pada malam itu bertentangan dengan syarat permit yang dimohon penganjur kerana turut melibatkan penyalahgunaan dadah selain penjualan dan pengambilan minuman keras.

Sementara itu, Aidi Sham berkata tiga daripada lima individu yang ditahan selepas dipercayai memiliki dan mengambil dadah semasa program tersebut, direman sehingga Khamis.

“Ketiga-tiga mereka direman kerana memiliki dadah... dua lagi yang didapati positif dadah telah dituduh pada Rabu dan dibebaskan dengan jaminan mahkamah,” katanya.  

Menurutnya polis merampas 30 biji pil ekstasi, tujuh pil erimin 5, satu peket lut sinar berisi ketamin dan sebatang rokok mengandungi ganja daripada suspek berusia 22 hingga 34 tahun terbabit. - Bernama

Neon Countdown 2019

Artikel Lain