suria

Harga minyak turun!

Gambar hiasan.

PETALING JAYA: Kerajaan Persekutuan mengotakan janji untuk menurunkan harga bahan api selaras dengan trend penurunan harga petroleum di pasaran dunia.

Harga kesemua bahan api turun bermula selepas tengah malam Sabtu.

Harga runcit petrol RON97 akan diturunkan dari RM2.50 seliter kepada RM2.23 seliter.

Harga baharu RON95 pula akan diturunkan dari RM2.20 seliter kepada RM1.93 seliter.

Manakala, diesel pula diturunkan dari RM2.18 seliter kepada RM2.04 seliter.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat berkata, kerajaan Persekutuan akan melaksanakan penetapan harga runcit petroleum secara mingguan bagi membolehkan pengguna menikmati sebarang perubahan harga dengan lebih cepat.

Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Rabu, telah membuat pertimbangan dan bersetuju supaya penetapan harga runcit produk petroleum dilaksanakan secara mingguan.

Guan Eng membuat pengumuman melalui kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat. - Bernama

"Harga runcit produk petroleum ini akan diselaraskan semula pada setiap minggu mengikut kaedah apungan terkawal di bawah formula Automatic Pricing Mechanism (APM).

"Sejajar dengan trend penurunan harga minyak di pasaran dunia pada ketika ini," kata beliau.

Tambah Guan Eng, pengumuman harga runcit akan dibuat pada setiap Jumaat dan berkuatkuasa pada tengah malam Sabtu.

"Perlu ditegaskan bahawa harga baharu ini mengambil kira tambahan komisen atau margin pengusaha stesen minyak yang diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Januari 2019.

"Kerajaan telah bersetuju supaya Margin Pengusaha Stesen Minyak diselaraskan dengan tambahan RM2.81 sen kepada 15 sen seliter bagi produk petrol RON95 dan tambahan 3 sen kepada 10 sen seliter bagi produk diesel," ujarnya.

Menurut Menteri Kewangan, harga runcit produk petroleum akan dikekalkan pada paras tidak melebihi RM2.20 seliter bagi petrol RON95 dan RM2.18 seliter bagi diesel melalui pemberian subsidi.

Jelas beliau, ia bertujuan untuk melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga yang ketara.

harga minyak

Artikel Lain