suria

PRK Cameron Highlands: PH calonkan M.Manogaran

Tun Dr Mahathir Mohamad (empat, kiri) bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kanan) mengangkat tangan calon PH bagi PRK Cameron Highlands M.Manogaran (tengah) ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Al-Bukhary, Jumaat. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi DAP Pahang M. Manogaran diumum sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, 26 Januari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengumumkan perkara itu yakin Manogaran, yang sebelum ini merupakan calon kawasan berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, akan berjaya mendapat sokongan pengundi dan masyarakat Cameron Highlands.

"Kita akan menang dalam PRK ini, InsyaAllah kita akan menang.

"Kita tidak tahu siapa yang nak bersaing dengan kita, namun siapa pun yang akan bertanding kita percaya dapat atasi pencabar lain," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di sini, Jumaat.

Pada 4 Jun tahun lepas, Manogaran memfailkan petisyen memohon perisytiharan bahawa keputusan PRU14 bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands yang disandang Datuk C. Sivarraajh daripada Barisan Nasional (BN) terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pada 30 November 2018, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Sivarraajh terbatal dan tidak sah selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Pada 28 Disember, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan Sivarraajh, yang merupakan Naib Presiden MIC, tidak layak bertanding dalam PRK berkenaan.

Pada PRU14, Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan memperoleh 10,307 undi menewaskan Manogaran dari PKR dengan 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud dari PAS (3,587 undi); Mohd Tahir Kassim dari Berjasa (81 undi) dan B. Suresh Kumar daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) (680 undi).

SPR menetapkan 12 Jan bagi penamaan calon PRK itu manakala hari mengundi awal 22 Januari dan hari pengundian 26 Januari. -Bernama

Manogaran, PRK Cameron Highlands

Artikel Lain