suria

Unik, perkahwinan di gereja turut disertai pengapit beragama Islam

Foto yang dimuat naik menerusi laman Facebook Ariffin Husain.

PETALING JAYA: Satu majlis perkahwinan di Sarawak baru-baru ini menampilkan konsep perpaduan apabila majlis yang diadakan di gereja itu turut disertai pengapit beragama Islam.

Foto perkahwinan pada 29 Disember lalu melibatkan pasangan Sylvester Voon dan Esther Joseph Kim yang dikahwinkan di St Joseph Cathedral, Kuching, Sarawak.

Dalam majlis itu, Kim menampilkan enam orang pengapit beragama Islam yang memakai baju kurung berona merah gelap dan tudung merah jambu.

Jurufoto perkahwinan, Ariffin Husain yang bertugas sewaktu acara tersebut menyifatkan ia sebagai perkahwinan paling unik pada 2018.

"Kamu tidak melihat perkara sebegini setiap hari. Perkahwinan di gereja, tetapi pengapit beragama Islam.

"Berhijab lagi... memang sangat rare," tulisnya menerusi laman Facebook.

Tambah Ariffin lagi, Kim sememangnya berasal dari Sarawak manakala kebanyakan pengapit tersebut berasal dari semenanjung.

"Ini yang kita panggil 1Malaysia. Walaupun berbeza agama dan bangsa. Ia tidak menghalang sahabat baik untuk meraikan hari bahagia kawan mereka," katanya.

Dia yang sudah berkecimpung dalam bidang itu sejak 2012 menyifatkan perkahwinan tersebut sangat istimewa untuknya, katanya kepada The Star.

"Saya harap dengan pelbagai ketengangan kaum kebelakangan ini, kita belajar untuk meletakkan perbezaan kita dan selami satu sama lain, hidup dengan harmoni," katanya. - The Star.

Artikel Lain