suria

Padah acu pisau, ugut pegawai JPJ, penuntut kolej ditahan

NILAI: Penuntut kolej berusia 18 tahun yang gagal ujian memandu untuk kali ketiga ditahan selepas mengacu pisau dan mengugut pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua Polis Daerah Nilai, Superitendan Mohd Nor Marzukee berkata, pelajar berkenaan berasa jengkel selepas dimaklumkan gagal dalam ujian kerana melakukan beberapa kesalahan trafik termasuk melanggar lampu merah.

"Pegawai JPJ berkenaan telah memberitahu suspek supaya memberhentikan kereta di tepi jalan sebelum persimpangan lampu isyarat di Batang Benar selepas mendapati dia telah melanggar beberapa peraturan trafik.

"Situasi itu menyebabkan suspek berang dan mengeluarkan pisau sepanjang 30 sentimeter dari dalam begnya dan mengacunya ke perut pegawai JPJ itu.

"Suspek itu juga mengugut supaya pegawai berkenaan memastikan dia lulus ujian berkenaan," katanya.

Mohd Nor berkata, pegawai JPJ yang terkejut dengan perbuatan remaja itu bergegas keluar dari kenderaan sebelum menghubungi polis.

Suspek kejadian kira-kira 10.30 pagi, Selasa itu kemudiannya ditahan dan dibawa ke Balai Polis Mantin untuk disoal siasat.

Ujian urin yang dijalankan ke atas suspek dari Kuala Lumpur itu bagaimanapun negatif.

Menurut Mohd Nor, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya. 











Mantin, Mohd Nor, JPJ

Artikel Lain