suria

Doktor hina bekas Yang di-Pertuan Agong letak jawatan serta-merta

PETALING JAYA: Kumpulan Klinik Mediviron mengesahkan doktor yang membuat komen berbaur hinaan terhadap bekas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di laman Facebook peribadinya telah meletak jawatan berkuatkuasa serta-merta.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan kumpulan klinik pada Rabu, pihaknya turu kecewa dengan komen yang dibuat Dr Rupesh Muniandy yang bertugas di klinik cawangan Kajang.

"Pihak pengurusan Kumpulan Klinik Mediviron amat kecewa dengan komen yang dibuat Dr Rupesh Muniandy yang telah mengguris perasaan dan sensitiviti orang ramai.

"Nilai-nilai yang kami tanam selama 33 tahun dalam memberikan perkhidmatan terbaik oleh doktor-doktor dan jururawat kami meliputi pelbagai kaum dan masyarakat Malaysia berlandaskan prinsip Rukun Negara," jelas kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, komen yang dibuat secara peribadi tersebut tidak mencerminkan apa jua pendapat dan penilaian kakitangan dan pengurusan kumpulan klinik berkenaan.

"Dr Rupesh Muniandy yang juga telah memohon maaf di atas komennya dalam akaun Facebook beliau sendiri dan bersetuju untuk bertanggungjawab sepenuhnya, " tambah kenyataan itu.

Sebelum ini, akaun Facebook milik doktor itu diserang netizen selepas beliau memuat naik komen berunsur hinaan terhadap bekas Yang di-Pertuan Agong.-Sinar Harian

Doktor, letak jawatan, hina Agong

Artikel Lain