KUALA LUMPUR: Seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan meninggal dunia akibat pendarahan dalam kepala dipercayai ketika dijaga pengasuh di sebuah rumah di Kampung Setia Jaya, Setapak di sini. Dalam kejadian kira-kira 12.15 tengah hari Selasa, ibu mangsa yang ke rumah pengasuh untuk melihat anaknya selepas menerima panggilan, mendapati bayi berkenaan tidak sedarkan diri dengan tubuhnya kelihatan pucat serta terdapat kesan lebam pada bawah mata kanan selain hidung berdarah. Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superitendan Noor Azmi Yusoff berkata, wanita itu kemudian menghubungi suaminya sebelum membawa bayi berkenaan ke klinik swasta di Taman Melati. “Bagaimanapun, doktor mengarahkan mereka supaya membawa bayi itu ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan bayi berkenaan disahkan meninggal dunia oleh pihak HKL,” katanya dalam kenyataan pada Rabu. Beliau berkata, bapa mangsa mendakwa bayi itu berada dalam keadaan sihat ketika dihantar ke rumah pengasuh pagi Selasa. “Bedah siasat yang dilakukan mendapati kematian adalah akibat kecederaan dan pendarahan dalaman pada bahagian kepala,” kata Noor Azmi. Menurutnya, pihaknya masih menyiasat kejadian itu mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001. - Bernama