suria

"Doakan yang terbaik ya" - Tengku Abdullah

KUALA LUMPUR:"Assalamualaikum... Doakan yang terbaik ya," titah Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Pemangku Sultan Pahang itu berkata demikian sebelum mempengerusikan mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang di sini, Jumaat petang.

Kenyataan ringkas Tengku Abdullah itu diberikan ketika ditanya pihak media yang menunggu ketibaannya sebelum melangkah masuk ke bilik persidangan di sebuah hotel di ibu negara.

Pertemuan itu menarik perhatian selepas Sultan Muhammad V meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Ketika ini, Tengku Abdullah ialah pemangku Sultan Pahang berikutan keadaan kesihatan ayahandanya, Sultan Ahmad Shah, 88 yang tidak mengizinkan.

Laporan media sebelum ini menyebut ada kemungkinan Tengku Abdullah akan ditabalkan sebagai sultan yang baru bagi Pahang untuk menggantikan ayahandanya.

Langkah itu juga membuka kemungkinan Tengku Abdullah dilantik mengisi kekosongan jawatan Agong selepas pengunduran Sultan Muhammad V pada 6 Januari lalu.

Mengikut sistem penggiliran Agong, selepas Kelantan jawatan Agong akan disandang oleh Sultan Pahang.

Majlis Raja-raja akan bersidang pada 24 Januari ini bagi melantik Agong ke-16 dan majlis mengangkat sumpah dijangka diadakan pada seminggu kemudian.

Sehingga Agong yang baru dilantik Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang juga timbalan Yang di-Pertuan Agong kini menjadi pemangku Agong.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak yang baharu dilantik memberitahu media keputusan mesyuarat hanya akan diumumkan pada Sabtu.

"Apa-apa keputusan yang dibuat hari ini akan diumumkan esok (Sabtu) di Istana Abu Bakar, Pekan," kata Dr Sallehuddin selepas mesyuarat itu berakhir pada pukul 7.30 malam Jumaat.

Beliau juga enggan mengulas apabila ditanya mengenai keputusan mesyuarat itu.

Perkara mesyuarat itu juga tidak didedahkan kepada media.


Tengku Abdullah, Pahang, Agong

Artikel Sebelum

"Terima kasih Najib" - Maszlee

Artikel Berikut

Artikel Lain