suria

Pengasas aplikasi Akla bangga jadi rakyat Malaysia pertama tercalon Anugerah Beta Gamma Sigma

Zainal dicalon untuk menerima Anugerah Beta Gamma Sigma di Amerika Syarikat April ini.

SIAPA sangka bermula dengan angan-angan, kini Zainal Akla Shamsuddin boleh tersenyum kerana tercalon untuk menerima Anugerah Beta Gamma Sigma April ini.

Pemuda kelahiran Lambor Kanan, Parit, Perak berusia 44 tahun ini sememangnya tidak pernah berhenti berfikir untuk membantu golongan yang memerlukan bantuan bagi meningkatkan taraf hidup.

Namun untuk mencapai tahap ini, ia bukan perjalanan yang mudah kerana dia perlu melalui pelbagai cabaran dan rintangan untuk mencipta aplikasi yang mudah diakses semua golongan.

"Saya sering dilabelkan oleh teman sekolah sebagai seorang yang suka berangan-angan. Tak dinafikan, saya memang suka berangan.

"Tapi angan-angan saya tak pernah tercapai sehingga mendapat pengiktirafan dunia.  Saya hanya berangan-angan bahawa pada satu hari nanti, saya akan membantu orang-orang memerlukan bantuan, membantu orang miskin dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

"Saya jadikan angan-angan satu realiti walaupun hakikatnya, saya perlu bergolok gadai," ujarnya kepada mStar Online.

Zainal merupakan pengasas kepada aplikasi telefon pintar yang berfungsi sebagai penghubung kepada pemilik dan pengusaha perniagaan serta individu yang memerlukan khidmat dan bantuan bagi menyempurnakan sesuatu tugasan harian yang dinamakan program aplikasi Akla dan Akla Buddy.

Aplikasi Akla yang diperkenalkan Zainal tahun lalu mendapat perhatian dunia.

Program yang dilancarkan sejak tahun lalu itu mendapat perhatian bukan sahaja di Malaysia malah di luar negara sehingga namanya tersenarai sebagai antara calon untuk menerima anugerah tertinggi dunia itu dalam bidang perniagaan.

"Ia merupakan anugerah tertinggi dalam Beta Sigma Gamma Award.  Individu yang terpilih adalah dinilai dari segi impak kepada masyarakat serta menjadi contoh kepada masyarakat dalam etika menjalankan perniagaan. Untuk tahun 2018, antara pemenangnya adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kepada Victoria Secret.

"Program aplikasi Akla diwujudkan atas rasa tanggungjawab melihat kesukaran rakyat Malaysia untuk mencari pekerjaan terutamanya dalam kalangan OKU, ibu tunggal dan asnaf.

"Idea ini telah banyak membantu industri yang terlalu bergantung kepada warga asing yang mana mendatangkan lebih banyak masalah sosial.

"Aplikasi ini dapat membantu mereka yang hilang punca pendapatan akibat pemberhentian kerja dan juga membantu mahasiswa yang menganggur mengumpul modal untuk perniagaan dengan menggunakan aplikasi.

"Program ini adalah usaha yang dilaksanakan tanpa bantuan kewangan dari mana-mana pihak bank mahupun badan kerajaan.

"Atas dasar rasa tanggungjawab terhadap rakyat senegara, saya menggunakan semua simpanan dengan harapan, rakyat Malaysia boleh mendapat pekerjaan," ujarnya mengimbas kembali permulaan aplikasinya itu.

Jelas Zainal yang juga merupakan CEO Akla, walaupun namanya baru disenarai pendek, dia tetap berbangga kerana merupakan rakyat Malaysia pertama yang tercalon menerima anugerah daripada organisasi yang berusia lebih 100 tahun itu.

"Keputusan akan diketahui April ini dalam satu majlis yang akan berlangsung di Amerika Syarikat. Menang atau kalah perkara nombor dua kerana yang penting seluruh dunia sudah mengenali aplikasi ini.

"Buat masa sekarang, sejak lapan bulan dilancarkan, masyarakat semakin boleh menerima aplikasi Akla ini dan seperti aplikasi-aplikasi yang lain penambahbaikan sering dititik beratkan.

"Kami telah dimuat turun lebih 10,000 kali dan mempunyai pangkalan data sebanyak 100,000 dan dijangka akan mencapai 300,000 dalam masa sebulan.

"Kami juga bakal melancarkan aplikasi Aklacare yang akan menghubungkan ànda dengan jururawat atau pembantu perubatan mahupun graduan perubatan yang masih menunggu untuk mendapat tempat di hospital kerajaan.

"Kami juga sedang mengadakan perbincangan dengan pejabat Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, untuk meneruskan program di bawah Kementerian Pembangunan Wanita bagi membantu golongan wanita, ibu tunggal dan OKU.

"Kami juga telah secara rasmi dilantik sebagai rakan kerjasama MDEC yang  akan membantu masyarakat untuk mendapatkan pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup.

"Selain itu kami turut bekerjasama dengan dua buah universiti (Universiti Tun Abdul Razak dan Universiti Utara Malaysia) yang telah membuka pejabat Akla di samping membuka ruang pekerjaan untuk membantu menjayakan program Akla," jelasnya.

Artikel Lain