PUTRAJAYA: Pengeluar telekung jenama Siti Khadijah, Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd (Siti Khadijah) merancang untuk mengembangkan sayapnya ke Singapura dan Brunei tahun ini, sebelum diperluaskan ke Timur Tengah dan Arab Saudi. Ketua pegawai eksekutifnya, Mohammad Munzir Aminuddin berkata, rancangan itu berikutan produk keluaran mereka terutama telekung mendapat permintaan tinggi dari luar negara. Jelas beliau, ia terbukti apabila telekung Siti Khadijah telah pun bertapak di Indonesia dengan pasarannya kini berkembang pesat. "Setakat ini, terdapat dua butik kami di Indonesia, termasuk pasaran di 14 gedung membeli-belah. Untuk pasaran Indonesia, kita akan menambah lagi lima butik tahun ini. "Pasaran kami di sana adalah di Jakarta dan Bandung dan akan diperluaskan ke Makassar, Pekan Baru dan Surabaya," katanya pada sidang media pelancaran laman web mini DahSedekad.com sempena ulang tahun ke-10 Siti Khadijah di sini, Selasa. Turut hadir adalah Pengasas Siti Khadijah, Padzilah Enda Sulaiman. Mohammad Munzir (kanan) dan Padzilah melancarkan logo baharu sempena ulang tahun ke-10 Siti Khadijah. Foto AZHAR MAHFOF Mohammad Munzir berkata, pada masa ini Siti Khadijah mempunyai 28 butik di seluruh negara. "Dua lagi cawangan akan dibuka menjelang akhir bulan ini iaitu di Aeon Nilai, Negeri Sembilan dan Aman Central di Alor Setar, Kedah. "Kami merancang untuk membuka 12 cawangan di seluruh Malaysia pada tahun ini, sekali gus menjadikan keseluruhan 40 cawangan," katanya sambil menambah bahawa perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM3.5 juta yang diperuntukkan pada tahun ini, termasuk cawangan-cawangan baharu di Malaysia dan Indonesia. Mengenai laman web mini DahSedekad.com, ia telah dilancarkan pada 4 Januari lalu, merangkumi segala aktiviti dan informasi berkaitan Siti Khadijah yang meluaskan empayar perniagaan selama 10 tahun. Ia juga akan menerapkan cerita di sebalik penghasilan telekung Siti Khadijah secara teknikal, termasuk individu yang terlibat dalam penuhuhan perniagaannya.