PETALING JAYA: Ustazah Nur Farhana Ibrahim yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu ditemui semula dalam keadaan selamat tetapi agak lemah, kata adiknya, Muhammad Tarmizi. Dia turut berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan dan membantu termasuk berkongsi berita mengenai kehilangan kakaknya sehingga tular. “Alhamdulillah, terima kasih sangat kepada kawan semua yang tolong mendoakan dan tularkan pasal kakak saya. Saya ucapkan jutaan terima kasih dan syukur yang tak terhingga sebab semua sudi membantu. “Cukup sekadar dah tau kakak saya dah jumpa dan dia selamat. Cuma keadaannya agak lemah. Terima kasih kepada PDRM dan bomba serta kepada semua yang membantu secara langsung atau tidak langsung,” katanya secara ringkas menerusi posting di halaman Facebooknya pada malam Khamis. Nur Farhana, 27, dilaporkan hilang selepas mengajar di Sekolah Kebangsaan Genting dekat Balik Pulau, Pulau Pinang, Isnin lalu. Perkongsian Muhammad Tarmizi mengenai keadaan kakanya, Ustazah Nur Farhana di laman sosial, malam Khamis. Memetik laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisoner Razali Ibrahim berkata, Nur Farhana datang ke balai polis berkenaan seorang diri dan berjalan kaki kira-kira pukul 3.15 petang Khamis. “Dia masih sukar untuk mengingati, sepanjang kehilangannya (ustazah itu) bermalam di surau untuk tidur," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. Menurut Razali, polis telah menghubungi suami dan keluarga guru terbabit untuk hadir ke balai polis berkenaan dan membawanya pulang. Nur Farhana disedari hilang selepas gagal dihubungi suaminya yang berusia 30 tahun pada kira-kira pukul 4.30 petang pada Isnin lalu sebelum beliau didapati tidak membawa telefon bimbitnya ke sekolah. Pihak sekolah turut memaklumkan Nur Farhana mengajar seperti biasa pada Isnin, dan seorang guru di situ mendakwa melihat dia keluar melalui pintu belakang sekolah. Namun, barangan peribadinya seperti beg duit, kunci kereta dan alat tulis didapati masih berada di atas meja di bilik guru manakala keretanya ditemui berada di luar pagar sekolah. Nur Farhana dikatakan berulang alik lebih 100 kilometer setiap hari dari di Alor Star, Kedah dan Balik Pulau, Pulau Pinang di tempat dia mengajar.