SHAH ALAM: Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan rasa lega dan berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Sesyen Selayang pada Khamis, yang menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap individu yang melakukan kekejaman terhadap kucing di sebuah dobi layan diri pada September tahun lepas. Baginda yang juga merupakan Penaung Diraja Kempen Stray Free Selangor, bagaimanapun dalam masa yang sama turut berasa amat dukacita dan sedih kerana masih berlaku beberapa insiden yang melibatkan kekejaman terhadap haiwan antaranya seperti anak kucing dipijak sehingga mati, serta perbuatan meracun dan membakar anjing. "Akta Kebajikan Haiwan 2015 jelas memperuntukkan bahawa hukuman denda RM20,000 hingga RM100,000 dan/atau penjara sehingga 3 tahun boleh dikenakan terhadap sesiapa yang melakukan kekejaman terhadap haiwan. "Saya memohon kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menyemai sifat kasih sayang dan belas kasihan terhadap haiwan yang terbiar di jalanan ini yang tidak mampu untuk mempertahankan diri mereka sendiri," katanya dalam satu kenyataan yang dimuatnaik oleh laman Facebook Selangor Royal Office pada Khamis. ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu teksi dipenjara dua tahun bunuh kucing Baginda turut menggesa Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh negara agar mengambil tindakan pro-aktif dalam mempromosikan ‘Caring and Compassionate Communities' menerusi pendidikan perikemanusian bagi pemilikan haiwan peliharaan secara berhemah dan bertanggungjawab. "Ia termasuk memperbanyakkan inisiatif pemandulan serta membina pusat perlindungan bagi menjaga haiwan-haiwan terbiar yang masih sihat dan tidak agresif ini. "Sebagai Penaung Diraja Kempen Stray Free Selangor The Humane and Compassionate Way bersama SPCA Selangor, saya mengalu-alukan usaha-usaha yang dijalankan di bawah kempen Stray Free Selangor ini, dan menggesa pihak berkuasa terlibat agar bekerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat yang prihatin ke arah membanteras sebarang bentuk perlakuan kejam terhadap haiwan," katanya. Mahkamah Sesyen Selayang dekat sini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas seorang lelaki yang videonya tular berhubung tindakan kejam bersama rakannya membunuh kucing yang dipercayai bunting dengan memasukkan haiwan itu ke dalam mesin pengering di sebuah dobi layan diri. Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman itu ke atas pemandu teksi A. Mohanraj, 42, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah, pada sebutan kes hari ini. Sebelum ini, tular satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan tindakan kejam tiga individu yang membunuh kucing yang dipercayai bunting dengan cara memasukkannya ke dalam mesin pengering berkenaan. - Bernama