VIDEO menunjukkan Peguam Negara, Tommy Thomas dan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum menari di atas pentas pada majlis sosial di Magellan Sutera Resort di Kota Kinabalu, Sabah bersama beberapa personaliti terkenal tular, sehingga menerima kecaman. Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan video tular itu sebagai sesuatu yang amat memalukan kepada institusi kehakiman dan perundangan negara. Menurut beliau, institusi kehakimanan dan perundangan negara amat sensitif dengan apa jua bentuk pergaulan sosial terutama hakim. "Apatah lagi jika melibatkan Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara yang bersosial dengan ahli politik dan individu berprofil tinggi yang pastinya boleh mengundang kontroversi dan menghakis kepercayaan rakyat terhadap sebarang keputusan yang bakal mereka ambil kelak," kata Asyraf dalam satu kenyataan pada Sabtu. Klip itu juga menunjukkan peguam aktivis, Siti Kasim dan Datuk Ambiga Sreenevasan, serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, menari berlatarkan muzik klasik 60an, Let's Twist Again pada majlis makan malam gala anjuran Persatuan Undang-Undang Sabah pada Jumaat malam. Mendakwa ia merupakan pencabulan etika dan prinsip konflik kepentingan, Asyraf berkata, keadilan bukan hanya perlu dilaksanakan, bahkan mesti dilihat dilaksanakan. Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad turut membangkitkan isu tersebut, dengan mengaitkannya dengan kisah yang berlaku pada 2016 mengenai seorang peguam yang melakukan kesalahan di Jabatan Peguam Negara ketika itu kerana menari di dalam video. Nik Nazmi berkata, menari di acara peribadi terpulang kepada individu. Bagaimanapun katanya, jika ia membabitkan majlis rasmi, ketua kehakiman dan perundangan perlu mengekalkan imej kebebasan dan integriti institusi kehakiman. "Pada 2016, kita pernah persoal AG (Peguam Negara) dan menteri menari di acara Merdeka. Kita mesti konsisten," katanya. - The Star