suria

Bekas ketua setiausaha sulit Tun M meninggal dunia

Gambar kenangan Allahyarham Abdul Aziz (kanan) bersama Dr Mahathir di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pada Mei 2000. Foto Bernama

BEKAS Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu Tan Sri Abdul Aziz Ismail meninggal dunia akibat masalah pernafasan di kediamannya di Bangsar pada 10 pagi Sabtu.

Allahyarham berusia 76 tahun.

Anak keempat Allahyarham, Nik Ina Naslisa, 38, berkata, ayahnya disahkan meninggal dunia oleh paramedik yang dipanggil ke rumah.

“Saya tertidur di sofa sebelah arwah. Pukul 9 saya tersedar dan nampak pernafasan ayah tidak seperti biasa. Saya panggil anggota keluarga lain sebelum menghubungi paramedik.

“Tak lama kemudian paramedik tiba dan periksa arwah… paramedik sahkan daddy sudah tiada,” katanya kepada Bernama.

Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Saidina Abu Bakar di Bangsar untuk urusan pengebumian dan solat jenazah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara  selepas solat Asar.  

Allahyarham berkhidmat dengan kerajaan selama 33 tahun dan bekerja dengan Dr Mahathir sejak 1981 bermula sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Sulit sebelum dinaikkan pangkat kepada Ketua Setiausaha Sulit pada 1983.

Abdul Aziz bersara daripada perkhidmatan kerajaan pada Mei 2000.

Menurut Naslisa, arwah bapanya dimasukkan ke Pusat Perubatan Pantai, Bangsar beberapa kali sejak April tahun lalu kerana sakit jantung selain masalah kaki dan belakang.

Allahyarham mempunyai lima anak termasuk tiga daripada perkahwinan keduanya bersama Puan Sri Nik Rokiah Nik Abdul Majid, 58.

Menurut Naslisa, ayahnya merupakan seorang yang tenang, penyabar dan sangat mengambil berat tentang keluarga sungguhpun sibuk dengan tugas.

"Daddy akan tetap ada masa untuk kami. Kami akan luangkan masa untuk makan bersama. Saya jaga ayah sejak April tahun lepas,” katanya. - Bernama

Artikel Lain